UMNO Perlu Sedia Bertempur Di Medan Perang Baharu – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi menekankan bahawa UMNO perlu lebih bersedia bagi bertempur di medan perang baharu menjelang Pilihan Raya UMUM (PRU) ke-15 dengan menguasai media sosial.

Katanya, bukan setakat untuk menguasai sahaja tetapi juga perlu menawan medan perang tersebut demi masa hadapan perjuangan UMNO, untuk agama, bangsa dan negara.

“Kita perlu bersedia untuk bertukar medan perang. Kalau dulu medan perang hanya di ceramah, pasar dan rumah ke rumah, hari ini, disebabkan pandemik COVID-19 dan SOP yang ketat, kita perlu melengkapkan diri untuk berperang di sosial media.

“Inilah sebenarnya medan perang yang baru untuk kita parti UMNO dan Barisan Nasional (BN). Jutaan rakyat terutamanya anak-anak muda menunggu maklumat kita di media sosial,” katanya kepada UMNO-Online hari ini.

Jelas beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor, medan media sosial yang dimaksudkannya ialah Twitter, Facebook, Instagram dan Tik Tok.

Semalam beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam dalam ucapan pada Mesyuarat Wanita UMNO bahagian terbabit mengingatkan bahawa kemenangan BN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan jaminan untuk menang pada PRU akan datang.

“Kita tidak boleh lalai, leka mahupun terbuai dengan kemenangan. Sebaliknya kita perlu bekerja dengan lebih gigih dan strategik kerana pembangkang terutamanya Dap akan menggunakan pelbagai cara termasuklah menghasut dan menjanjikan bulan bintang untuk meraih undi.

“Semoga perjuangan kita sentiasa dirahmati dan diberkati Allah SWT,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.