Pendidikan Politik Perlu Diterapkan Dalam Kurikulum Sekolah – Ahmad Shamil

PARIT, 12 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Parit berpandangan langkah holistik perlu dilakukan dalam sistem pendidikan sekolah untuk memberikan pengetahuan politik dalam kalangan pelajar ekoran had usia kelayakan mengundi diturunkan kepada 18 tahun pada tahun depan.

Ketuanya, Ahmad Shamil Mohamed berkata ianya bagi memberi kefahaman kepada golongan muda yang bakal mengundi kelak agar memahami dan maklum akan hak sebagai pemilih dan turut mengambil bahagian dalam sistem demokrasi negara.

“Pertambahan pengundi automatik dan undi 18 ini telah menyebabkan berlaku penambahan undi orang muda yang sangat ketara. Bila disebut pengundi muda atau orang muda maka sudah tentulah diletakkan di atas bahu Pemuda UMNO.

“Namun begitu, pendidikan politik harus diterapkan di dalam kurikulum sekolah, khususnya sekolah menengah bagi memberi ilmu khusus tentang perjalanan pilihan raya di Malaysia dan perkara yang berkaitan urusan pilihan raya secara jelas dan penekanan kepada konsep demokrasi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Parit, di sini semalam.

Jelas beliau lagi, golongan muda ini juga perlu dijemput bersama menyertai aktiviti parti untuk membuka mata mereka bahawa UMNO sentiasa komited untuk memberi peluang kepada mereka.

“Kegagalan kita untuk mengenal pasti siapakah golongan-golongan ini, di mana mereka tinggal, apa kecenderungan politik mereka, adakah ibu ayah mereka orang UMNO atau sebaliknya merupakan satu perkara yang malang dan memberi kesan yang serius terhadap kemenangan di peti undi.

“Zaman sudah berubah, mereka ini lepas sekolah rendah, masuk asrama, sambung belajar di luar dan ada yang langsung tidak kenal pimpinan setempat sebab sentuhan UMNO tidak sampai kepada mereka dan mereka pula jarang terlibat atau mengambil bahagian dalam program setempat, kampung atau taman… dengan kata lain perlu ada engagement,” ujar beliau.

Sementara itu, Ahmad juga berpandangan bahawa bagi memastikan Pergerakan Pemuda UMNO terus relevan, segar dan muda maka had umur Ketua Pemuda UMNO Malaysia perlu diturunkan kepada 40 tahun ke bawah.

“Bukan seperti sekarang Ketua Pemuda UMNO Malaysia tiada had umur untuk dipertandingkan. Survival sayap Pemuda perlu diutamakan dan walaupun perkara ini pernah kita usulkan, kali ini sekali lagi saya mencadangkan agar had umur ahli UMNO bermula pada umur 16 tahun dan diwujudkan kembali Briged Putra.

“Selain itu jawatan tertinggi parti, contohnya satu kerusi Naib Presiden boleh dibuka ruang untuk mereka yang berumur 50 tahun ke bawah. Baru orang muda tengok UMNO sebuah parti yang relevan kepada orang muda dan memberi peluang kepada orang muda untuk bersama-sama dalam saf kepimpinan parti,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.