Giatkan Lagi Usaha Di Akar Umbi, Terus Kukuhkan Parti Antara Saranan Sharkar Di Temerloh

TEMERLOH, 11 Dis – Wanita dan Pemuda serta Puteri UMNO Temerloh disaran agar melipatkan lagi usaha untuk sama-sama mengukuhkan lagi parti selain berterusan turun ke akar umbi.

Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin berkata dengan cabaran semasa sudah pasti langkah berkenaan akan memberi impak bukan sahaja kepada parti malah kepada rakyat seluruhnya.

“Kita mesti perkukuhkan perpaduan, kenal pasti pengundi, sama-sama turun ke akar umbi dengan memperbanyakkan lagi program.

“Insya Allah dengan pendekatan sebegini yang berterusan UMNO mampu mengorak langkah mendepani cabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Berkelompok Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO bahagian Temerloh. Turut serta pimpinan yang lain.

Sharkar seterusnya menambah dengan cabaran baharu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang termasuklah dengan pengundi baharu tentunya akan menambahkan lagi cabaran kelak.

“Apabila pengundi umur 18 tahun dan undi automatik dilaksanakan tentunya cabarannya lain. Kita perlu bersedia setiap masa dengan langkah yang sebaiknya,” ujarnya.

Ujar beliau lagi kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini menjadi pembakar semangat kepada seluruh ahli dan pendokong parti.

“Namun ianya bukanlah memberi keselesaan sebalikya memberikan suntikan semangat untuk masing-masing melangkah mendepani cabaran selepas ini,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.