Wanita Segamat Terus Setia, Perkukuhkan Parti – Norshida

SEGAMAT, 11 Dis – Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata mereka akan terus membantu bukan sahaja dalam memperkasa dan memperkuatkan parti, malah akan sentiasa berada di belakang agar perjuangan yang sekian lama terus subur.

Berucap pada Mesyuarat Wanita UMNO Segamat hari ini, beliau seterusnya menegaskan Wanita yang cukup sinonim sebagai tulang belakang kepada UMNO akan tetap setia seiring dengan salah satu cogan kata parti iaitu ‘Bersetia’.

“Wanita UMNO selaku tulang belakang menyokong kepimpinan dan saf kepimpinan parti. Tetapi bukan bermakna Wanita UMNO duduk dibelakang dan selalu di belakangkan. Jangan sesiapa pandang remeh sokongan kita Wanita sebagai ibu kepada pucuk pimpinan parti.

“Kita akan terus memberi kekuatan dan sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Kita juga akan memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO supaya beliau dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan tenang tanpa menoleh ke belakang, mengkalis jika ada gunting dalam lipatan,” katanya.

Mesyuarat Wanita UMNO bahagian dirasmikan Ketua UMNO bahagian berkenaan, Datuk Zahari Sarip. Turut serta pimpinan serta perwakilan Wanita UMNO bahagian tersebut.

Norshida yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Segamat seterusnya menambah dalam menyusuri perjuangan diulit suka dan duka, tidak pernah sekali mereka derhaka kepada parti.

Sebaliknya jelas beliau kata-kata keramat ‘Bersetia’ disemat erat membalut jiwa.

“Wanita sabar mencari cahaya yang pasti bersinar. Wanita UMNO Segamat adalah ibu kepada tulang belakang parti ini di sini. Tidakkan kami haus kepercayaan kami, tidakkan usai perpaduan kami demi parti UMNO yang telah banyak berbakti kepada rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.