Transmisi Seksual Punca Utama Penularan HIV – Khairy

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Trend jangkitan HIV telah berubah dengan transmisi seksual merupakan punca penularan utama sejak beberapa tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Sehubungan itu, beliau berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan oleh semua pihak untuk mendidik orang ramai dalam memastikan jangkitan melalui transmisi seksual dikurangkan, selain alat dan pengetahuan mengenainya disampaikan kepada semua khususnya generasi muda.

Berdasarkan statistik baru-baru ini, Khairy berkata kebanyakan jangkitan baharu berlaku dalam kalangan orang muda berusia antara 20 dan 39 tahun dengan 76 peratus dijangkiti HIV.

“Jumlah jangkitan baharu HIV masih mencecah 3,000 kes. Pada 2020, sebanyak 3,146 jangkitan baharu dilaporkan atau 9.3 bagi setiap 100,000 populasi atau 94 peratus daripada disebabkan oleh transmisi seksual.

“…empat peratus lagi adalah disebabkan penggunaan dadah secara suntikan dan masing-masing satu peratus disebabkan transmisi ibu kepada anak dan lain-lain sebab,” katanya berucap pada majlis Gala Reben Merah dan Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-Yayasan Aids Malaysia (MAF) 2021 di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi MAF Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Penaung MAF Datin Paduka Marina Mahathir serta Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Khairy berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk membendung jangkitan melalui cara itu dan ia tidak mustahil memandangkan Malaysia berjaya menghentikan peningkatan kes melalui penggunaan dadah secara suntikan semasa fasa awal epidemik HIV dengan memperkenalkan program pengurangan kemudaratan.

“Pelaksanaan program pertukaran jarum dan picagari serta rawatan terapi gantian metadon pada 2006 berjaya mengurangkan lebih separuh jangkitan dalam tempoh lapan tahun. Terdapat langkah pencegahan yang berkesan.

“Pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif bersesuaian amat penting dan perlu diajar kepada golongan muda kita. Ujian, terutama ujian kendiri HIV perlu digalakkan dan rawatan mesti dimulakan tanpa lengah,” katanya.

Mengambil berat mengenai wabak COVID-19, beliau berkata kerajaan telah memperuntuk jumlah yang besar untuk kos menguruskan HIV atau AIDS lebih daripada 90 peratus.

“Pada 2020, walaupun berdepan pandemik COVID-19, kita membelanjakan hampir RM100 juta untuk AIDS dengan kebanyakannya untuk rawatan dan pencegahan termasuk pengurangan kemudaratan yang kita laksanakan bersama masyarakat di bawah Majlis Aids Malaysia,” katanya.

Khairy menegaskan pendekatan pelbagai serampang perlu diambil untuk membantu mereka yang hidup dan dijangkiti HIV kerana ia memberi kesan kepada setiap aspek kehidupan manusia.

“Terdapat stigma dan diskriminasi yang datang bersama penyakit dan mereka yang hidup atau terjejas kerananya mesti bertahan bukan sahaja kerana virus tetapi persepsi negatif masyarakat terhadap mereka. Jadi kita perlu memainkan peranan. Kita mesti menjauhi diskriminasi dan kata-kata yang menghakimi,” katanya.

Sementara itu, Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-MAF dinobatkan kepada Pegawai Aids Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Mahani Nordin atas sumbangannya yang melangkaui tugas dalam membantu masyarakat setempat terhadap HIV dan Aids. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.