Semarakkan Semangat Perjuangan Tinggi Wanita, Pemuda Dan Puteri – Abdul Azeez

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berharap melalui persidangan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO dapat memberikan semangat perjuangan yang tinggi dalam diri ahli akar umbi parti.

Menurut beliau ini kerana ianya merupakan elemen yang penting bagi membawa perjuangan demi mempertahankan agama bangsa dan negara.

“Selamat bersidang kepada seluruh perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bagi tahun 2021.

“Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat… serumpun bak serai, sesusun bak sirih.

“Hargailah sebuah kesetiaan, dan berpeganglah pada prinsip perjuangan UMNO yang sebenar,” katanya menerusi satu hantaran.

Malah ujar Ahli Parlimen Baling itu lagi meskipun pelbagai ujian dan kesakitan yang ditempuhi sebelum ini namun ianya harus dilihat sebagai pembakar semangat dalam membawa agenda membela masa depan negara dan nasib rakyat.

“Buruk-buruk kayu gaharu, dibakar berbau juga… biar kita terapung sama hanyut terendam sama basah.

“Bertindak bijaklah dalam membuat pilihan… ingat ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencocok, duri yang akan mengait,” ujar beliau.

Terdahulu mesyuarat bagi Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian berlangsung selama dua hari bermula hari ini sebelum disusuli Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 18 Dis.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 pula dijadual diadakan selama tiga hari bermula 13 Jan tahun hadapan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.