Sama-Sama Muhasabah Diri, Lengkapkan Titik Pertemuan Untuk Terus Ke Depan – Yaakub Khan

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yaakub Khan mengharapkan mesyuarat di peringkat sayap serta UMNO bahagian menjadi medan untuk sama-sama bermuhasabah selain melengkapkan lagi titik pertemuan untuk langkah selanjutnya kepada parti dalam mendepani cabaran.

Bagi beliau dalam konteks UMNO Sabah itu sendiri, inilah masanya bagi masing-masing mempersiapkan diri dalam usaha memacu serta memperkasakan lagi parti.

“Selamat bersidang kepada bahagian-bahagian seluruh negara. Gunakanlah kesempatan ini untuk kita muhasabah diri mencari satu titik pertemuan khususnya untuk memperkasakan parti keramat UMNO ini.

“Di Sabah Insya-Allah kita dalam keadaan sedia untuk melaksanakan mesyuarat di peringkat yang seterusnya iaitu peringkat sayap dan bahagian. Alhamdulillah di peringkat cawangan sebelum ini masing-masing telah berjaya mengadakan mesyuarat masing-masing mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya kepada UMNO-Online.

Cawangan-cawangan UMNO seluruh negara telah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing pada 30 November lalu dan pada 11 serta 12 Disember ini akan diadakan mesyuarat di peringkat sayap bahagian manakala pada 18 Disember pula mesyuarat UMNO peringkat bahagian.

Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 13 hingga 15 Januari depan.

Yaakub yang juga Ketua UMNO Sepanggar dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah seterusnya menambah kemenangan yang dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini memperlihatkan sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Perkembangan tersebut jelasnya sudah pasti sedikit sebanyak akan memberi suntikan semangat kepada ahli parti pelbagai peringkat untuk terus bangkit dan terus memperkasakan lagi parti untuk langkah ke depan.

“Kita telah selesai menjalani pilihan raya negeri Melaka di mana jentera Sabah telah turut membantu calon-calon kita yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dan Telok Mas. Alhamdulillah kedua-dua DUN ini berjaya kita menangi.

“Umumnya juga kemenangan BN di Melaka baru-baru ini secara tidak langsung memberi suntikan semangat kepada ahli parti di seluruh negara termasuklah di Sabah sendiri. Yakin dengan kemenangan ini…ahli-ahli UMNO, orang-orang UMNO akan terus bekerja mengejar kemenangan insya-Allah. Yakinlah UMNO masih di hati rakyat dulu, kini dan selamanya,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.