Perjuangan Tegakkan Kebenaran Akan Atasi Pakatan Kezaliman – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis perjuangan bagi menegakkan kebenaran akan beroleh keberkatan kerana percaya suatu kezaliman akan ditewaskan.

Beliau malah mengajak untuk berdoa dan berserah memohon pertolongan Allah S.W.T agar pelbagai pakatan yang cuba menafikan kebenaran akan dapat dijatuhkan.

“Biar apa ikatan mahu menenggelamkan kebenaran, perjuangan menegakkan yang benar akan tetap diteruskan untuk ditegakkan… kepada sahabat dan rakan yang tidak pernah tunduk serta gentar kepada kebatilan dan kezaliman janganlah bimbang.

“Insya-Allah, yakinlah dengan apa yang terkini kita saksikan seharusnya menjadi azimat penguat semangat meneruskan perjuangan. Kini kita ada sebab dan tujuan yang lebih jelas lagi meyakinkan perjuangan ini sebuah perjuangan yang luhur,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, ada segelintir pihak yang sanggup memanipulasi agama bagi mengelirukan antara kebatilan dan kebenaran demi menghalalkan kehendak mereka.

“Perjuangan untuk menegakkan kebenaran penuh dengan onak dan duri, namun tidak mengapa kerana itulah ujian… langkah menegakkan kebenaran bertambah ranjau tatkala kebatilan sentiasa merancang untuk menyekat.

“Kebatilan yang licik mengatur serta menyusun agenda dan naratif menggunakan segala tipu muslihatnya kerana itu tidak semua sanggup menentang kebatilan, memilih untuk tunduk disebabkan tahu lara dan likunya.

“Meski begitu yang tunduk tidaklah lebih teruk berbanding yang menawarkan diri jadi alat menidakkan kebenaran,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.