Buli: Ibu Bapa, Guru Perlu Pantau Perubahan Sikap Pelajar – MB Perak

IPOH, 11 Dis – Ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah di asrama diminta sentiasa melakukan pemantauan sebarang perubahan sikap pada mereka, supaya insiden membuli rakan-rakan sekolah tidak berlaku.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata guru dan warden asrama turut memainkan peranan penting untuk melakukan tindakan, sekiranya menyedari perubahan pada diri pelajar berkenaan.

“Kadang-kadang pelajar yang berada di asrama ini, tindakan mereka suka membuli ini mungkin satu cara untuk dia melepaskan perasaan tidak berpuas hati dengan sesiapa, barangkali dengan keluarga atau memang tidak mahu masuk asrama, tetapi dipaksa oleh keluarga.

“Jadi dia melepaskan tekanannya itu dengan cara memukul orang,” katanya ketika diminta mengulas  insiden buli yang didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular di media sosial semalam.

Saarani yang juga merupakan bekas seorang guru berkata gejala buli tidak boleh dipandang ringan, kerana ia berkait rapat dengan isu moral pelajar terbabit dan ia perlu ditangani segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Pada saya orang yang sanggup memukul orang ini ada masalah, dia tidak mempunyai perasaan dan emosinya tidak stabil, ini sangat berbahaya.

“Saya amat berharap kejadian buli ini tidak berulang, kerana berkali-kali kejadian buli ini berlaku di mana-mana. Apa yang saya pelik, orang yang merakam sampai hati pula melihatnya, sepatutnya orang yang merakam dan kawan yang berada di sekitar tempat kejadian, perlu membantu meredakan keadaan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata polis menahan enam suspek berusia 13 tahun, yang dipercayai terlibat dengan kes buli berkenaan bagi membantu siasatan.

Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, hingga menerima kecaman orang ramai.

Terdahulu, Saarani merasmikan ‘Ipoh International Art Festival 2021’ bertemakan Budi Pemanjangan Tradisi, anjuran Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) di sini hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.