Tarik Diri… PPBM Tak Buat Kursus Undang-undang Pilihan Raya Ke? Sinis Shahrir

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Ketua UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad secara sinis menimbulkan persoalan mengenai penarikan diri Timbalan Menteri daripada PPBM pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan pada 18 Dis depan.

Katanya lagi apakah parti berkenaan tidak mengadakan kursus mengenai undang-undang pilihan raya kerana apabila selesai sahaja pencalonan pada hari penamaan calon, nama seseorang calon akan tetap berada di atas kertas undi walaupun calon berkenaan menarik diri.

“Takkan seorang Timbalan Menteri yang sudah dua penggal sebagai seorang ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) tidak tahu bahawa penarikan diri selepas hari penamaan calon tidak sah dari segi undang-undang pilihan raya.

“PPBM tak buat kursus undang-undang pilihan raya ke? Nama tetap di atas kertas undi. Lambat sungguh Presiden PPBM nak tekan butang yang itu. Tertekan salah butang ke,” soalnya menerusi facebook beliau.

Memetik laporan, Datuk Ali Biju dilaporkan mengumumkan menarik diri sebagai calon Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian dan akan memberi sokongan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik.

Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, keputusannya itu bagi memelihara muafakat serta memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Saratok itu menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Krian yang menyaksikan persaingan empat penjuru daripada Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu), Danny Kuan (Parti Bumi Kenyalang) dan Friday.

Perkara berkenaan sebelum ini turut mengundang kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang dilaporkan kecewa dengan tindakan Datuk Ali Biju yang bertanding di kerusi DUN Krian pada PRN-12 bagi negeri itu.

Menurut beliau, tindakan Ahli Parlimen Saratok itu disifatkan sebagai melanggar perjanjian antara PPBM dan GPS sempena PRN-12.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut dilaporkan berkata, calon pilihan raya tidak boleh membuat keputusan menarik diri selepas penamaan calon selesai pada pukul 10 pagi.

“Ini seperti yang termaktub di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

“Sekiranya calon menyatakan hasrat untuk menarik diri, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan mengeluarkan nama beliau daripada pencalonan dan namanya akan terus kekal pada kertas undi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook tadi.

Menurut Dr. Wan Junaidi, Ali masih akan diumumkan sebagai pemenang di kerusi DUN Krian sekiranya mendapat undian tertinggi walaupun selepas penarikan diri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.