Mesyuarat UMNO Bawa Suara Akar Umbi Ke Arah Penyatuan Parti – Ramlan

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlan Askolani berharap mesyuarat UMNO peringkat bahagian yang berlangsung ketika ini bakal membawa suara akar umbi ke arah penyatuan parti.

Katanya, ini termasuk membawa kembali kemenangan di negeri berkenaan termasuk lima kerusi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

“Mesyuarat ini menfokuskan untuk membawa kemenangan pada PRU-15. Kita solidariti untuk membawa suara akar umbi untuk rampas kembali kerusi di Wilayah ini.

“Sasaran lima Parlimen iaitu Titiwangsa, Lembah Pantai, Wangsa Maju, Setiawangsa dan juga Bandar Tun Razak, termasuk Batu sekiranya kita tidak bersama dengan Muafakat Nasional. Dua yang hendak kita kekalkan iaitu Putrajaya dan Labuan.

“Jadi memang kita sudah bersedia untuk menghadapi PRU-15 dan jentera Wilayah ini diarahkan oleh Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Seri Johari Bin Abdul Ghani untuk jalankan siap-siaga untuk tempoh ini,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai itu menambah kesepakatan dalam kalangan kepimpinan bahagian sangat penting bagi memberi kemenangan kepada UMNO.

“Harapan saya pertama kita hendak kembalikan balik sebab sebelum ini adalah milik UMNO tetapi kita sudah kalah tiga penggal dengan Nurul Izzah Anwar dan Fahmi Fadzil.

“Kita berharap kali ini UMNO kena ada kesepakatan dari sudut cawangan, Wanita serta Pergerakan Pemuda dan Puteri untuk membawa kejayaan pada pilihan raya kelak,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.