Menteri Kewangan Wajib Jelaskan Kewajaran Lantik DNB Kendali 5G Dengan Kos RM11 Bilion

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius jawapan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mendakwa Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang melantik sebuah syarikat bernama DNB yang tiada pengalaman dan infrastruktur untuk mengendalikan teknologi 5G dengan kos mencecah RM11 bilion.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi respon demikian merujuk kepada kenyataan Zahidi yang menjawab di Parlimen kelmarin bahawa pelantikan itu juga dibuat secara tiba-tiba tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Apabila kita dipanggil oleh MOF (Kementerian Kewangan) untuk memberi kelulusan kepada DNB, kita tak bincang pun, tiba-tiba MOF panggil, kena beri kepada DNB.”

Justeru tambah Dr Asyraf dalam satu kenyataan, dua persoalan besar yang tercetus iaitu:

(i) Pertama, bagaimana proses perlantikan sebuah syarikat yang tidak berpengalaman boleh dibuat tanpa perbincangan dengan pihak kementerian yang bertanggungjawab memastikan kesempurnaan pembangunan teknologi 5G?

(ii) Kedua, bagaimanakah proses penilaian dan tender dibuat apabila melibatkan peruntukan sebesar RM11 bilion?

Begitu juga kata Dr Asyraf, dikhabarkan kos pada mulanya adalah RM7.5 bilion sebelum Menteri Kewangan mengatakan peningkatan kos meningkat kepada RM11 bilion.

“CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) DBM pula dilaporkan mendakwa kos adalah RM16.5 bilion dan boleh meningkat sehingga RM20 bilion.

“Dengan peruntukan sebesar itu dan pastinya juga melibatkan wang rakyat, maka sudah tentu jawapan tuntas wajib dikeluarkan segera oleh Menteri Kewangan.

“Ini bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya apa jua bentuk penyelewengan dan ketirisan dalam menyediakan kemudahan teknologi 5G kepada rakyat dengan peruntukan yang besar,” tegasnya.

Seterusnya ulas Dr Asyraf lagi, rakyat hari ini mendambakan segala projek yang diluluskan demi kepentingan rakyat wajib dibuat mengikut prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik, bebas daripada sebarang bentuk penyimpangan dan penyelewengan.

“Demi memastikan manfaatnya bukan sahaja kembali kepada rakyat tetapi tidak sesekali mempersiakan setiap sen wang rakyat yang dibelanjakan,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.