PRN Sarawak: Abang Johari Yakin Rakyat Bijak Menilai

GEDONG (Sarawak), 6 Dis – Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin rakyat mampu menilai apa yang telah dilaksana oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selama ini dan menterjemahkannya melalui undian mereka dalam memilih kerajaan baharu bagi mentadbir negeri itu untuk lima tahun akan datang.

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) berkata setakat ini, apa yang dijanjikan oleh kerajaan GPS pada 2016 telah pun ditunaikan.

“Walapun ada pihak yang menyatakan manifesto ini bukanlah macam (kitab) Bible tetapi pada kita, ia adalah satu perjanjian yang harus kita laksanakan sebaik mungkin.

“Saya harap kerajaan kita sekarang ini mempunyai dasar-dasar sosial dan ekonomi sehingga tahun 2030 dan disebabkan COVID-19, kita nak pulihkan keadaan ekonomi kita dan saya harap rakyat juga akan main peranan untuk melihat masa depan Sarawak yang lebih baik bagi anak cucu mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas proses penamaan calon hari ini.

Mewakili GPS pada PRN12, Abang Johari yang pertama kali bertanding di luar kawasan tradisinya di Satok, ditentang tiga calon muka baharu Mohamad Sofian Fariz Sharbini daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Kamal Bujang daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan Tomson Ango, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Abang Johari memilih untuk bertanding di DUN Gedong, sebuah kawasan luar bandar, selepas sembilan penggal menjadi penyandang di kerusi Satok.

Ketiga-tiga lawannya merupakan ahli biasa dalam parti masing-masing.

Mohamad Sofian Fariz, 36, yang merupakan ahli perniagaan dan beberapa tahun sebelum ini aktif di belakang tabir PSB, berkata sebagai anak jati Gedong, beliau mahu menjadi ‘suara’ kepada seluruh penduduk di kawasan itu selain berhasrat menjadi ‘giant killer.’

“Kita akan bawa suara orang kampung, belia, seluruh kampung. Hasil saya bergerak selama ini mendapati banyak yang saya perlu ubah dan saya di peringkat ‘giant killer’ jika dapat mengalahkan Abang Jo.

“Saya pun ada misi… kerana saya anak tempatan yang dari kecil di Gedong, pelbagai masalah sebelum ini tak didengar, banyak yang saya akan dedahkan dalam kempen saya nanti,” katanya yang juga aktif dalam badan bukan kerajaan berkaitan permotoran.

Tomson, 66, yang pernah berkhidmat di sebuah syarikat minyak dan gas, berkata beliau bertanding atas dasar ingin mengubah Sarawak supaya rakyat di negeri itu dapat menikmati hidup yang lebih baik daripada apa dialami mereka kini.

Beliau juga tidak melihat PBK sebagai sebuah parti baharu yang mempunyai masalah untuk berkempen serta meraih undi dan menyerahkan kepada pengundi untuk menentukan pemimpin mereka.

Kamal, 68, yang merupakan bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Pridan di Serian pula berkata ini merupakan kali pertama beliau bertanding dalam pilihan raya.

Sebelum ini, beliau berkhidmat selama 35 tahun dalam sektor pendidikan.

DUN Gedong, yang mempunyai sejumlah 7,208 pemilih berdaftar, berada dalam Parlimen Batang Sadong dan terletak kira-kira sejam setengah perjalanan dari Kuching.

Kira-Kira 60 peratus pengundi di kawasan itu adalah Melayu, 30 peratus Iban dan 10 peratus lagi etnik lain.

Ia merupakan kawasan DUN baharu yang dibentuk selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya semasa PRN Sarawak ke-11 pada 2016.

Penyandangnya Datuk Mohd Naroden Majais sebelum ini mengumumkan mengundur diri dan memberi laluan kepada Abang Johari untuk mempertahan kerusi GPS di DUN itu.

Tarikh mengundi bagi PRN Sarawak ke-12 ditetapkan pada 18 Dis manakala undi awal pada 14 Dis. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.