Perjuangan Bersihkan Nama Di Mahkamah Demi Tegakkan Keadilan – Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Perjuangan membersihkan nama di mahkamah untuk menegakkan keadilan diteruskan.

Demikian kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menerusi laman facebooknya hari ini.

Hari ini Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh 24 Jan ini untuk keputusan sama ada Ahmad Zahid akan dibebaskan atau diperintahkan membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pendakwaan.

“Terima kasih kehadiran saban hari oleh para sahabat khususnya Kelab Bersetia Bersahabat termasuk dari Sabah Sarawak.

“Semoga Allah mempermudahkan segalanya. Kepada Allah kita berserah dan bertawakal setiap masa,” kata Ahmad Zahid.

Pada 19 Mac, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi termasuk bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co B. Muralidharan, pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019.

Ahmad Zahid, 68, mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.