KKM Senarai Lapan Negara Dalam Sekatan Perjalanan

PUTRAJAYA, 1 Dis – Kementerian Kesihatan (KKM) menyenaraikan lapan negara dalam sekatan perjalanan sementara, dengan Malawi menjadi yang terkini dalam senarai tersebut susulan penularan varian baharu COVID-19 yang dikenali sebagai Omicron.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pada 26 Nov lepas, KKM menyenaraikan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe dalam senarai sekatan perjalanan sementara.

“Hari ini, Malawi tersenarai menjadikan jumlah negara terkini dalam senarai sekatan perjalanan adalah sebanyak lapan negara,” katanya pada sidang media perkembangan semasa varian Omicron dan COVID-19 di Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata 20 negara sudah melaporkan pengesanan varian Omicron setakat semalam dan 203 daripada 215 kes varian itu telah dilaporkan dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

Menurut Khairy, KKM akan menyediakan senarai negara yang melaporkan kes varian Omicron atau berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan varian baharu itu secara harian untuk diedarkan kepada Kementerian Luar; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Imigresen melalui Majlis Keselamatan Negara.

Beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada langkah-langkah kawalan serta pencegahan varian Omicron yang telah dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 semalam.

Khairy berkata kerajaan membuat keputusan menangguhkan perancangan untuk mewujudkan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan negara yang dikenal pasti melaporkan penularan varian Omicron seperti yang disenaraikan sehingga gambaran lebih jelas diperoleh mengenai varian itu di peringkat global.

Beliau berkata pengembara yang menyertai VTL udara dan darat Malaysia-Singapura digalakkan untuk melakukan ujian pengesanan COVID-19 kendiri pada hari ketiga dan ketujuh selepas ketibaan.

Selain itu, Khairy berkata pelancong dari negara yang melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi tidak dibenarkan menyertai program gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi, Kedah.

“Warganegara Malaysia (penduduk Langkawi) yang pulang dari negara melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan Omicron dibenarkan memasuki Malaysia melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin khas.

“Pelancong asing yang disahkan positif COVID-19 varian Omicron akan diisolasi di hospital swasta dan perlu menanggung sendiri kos rawatan,” katanya.

Menurut Khairy, kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara terlibat turut ditangguhkan sementara.

Dalam mengukuhkan kawalan pintu masuk antarabangsa, Khairy berkata penggunaan sistem ‘autogate’ Jabatan Imigresen diberhentikan sementara berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata penerbangan dari negara yang melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui KLIA sahaja dan pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu menyediakan pagar khas bagi penerbangan tersebut.

Katanya, syarikat penerbangan bertanggungjawab mengenal pasti pengembara dari negara terbabit dan maklumat mereka mesti dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan KLIA untuk memudahkan pengendalian semasa ketibaan.

Menurut Khairy, KKM akan terus menjalankan pemantauan perkembangan varian baharu itu pada setiap masa dan sekiranya langkah-langkah yang lebih ketat diperlukan, pihaknya akan membuat pengumuman apabila keputusan dibuat.

“Langkah-langkah yang saya umumkan tadi sebagai langkah untuk kita perketatkan sempadan negara bersifat sementara sehingga kita mengetahui lebih lanjut mengenai varian membimbangkan ini. Sekiranya didapati varian ini tidak mengancam kesihatan awam di Malaysia kita akan melonggarkan balik sekatan.

“Penting untuk saya tegaskan langkah-langkah ini berbentuk sementara dan sama ada boleh diperketat atau dilonggarkan lagi, ia berdasarkan kepada maklumat yang kita terima dan penilaian risiko yang dibuat oleh KKM,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.