Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Terus Diberi Keutamaan – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera terus diberi keutamaan oleh kerajaan melalui penyediaan pelbagai pakej rangsangan dan pelan pemulihan bagi membantu mereka bertahan dan berdaya saing dalam norma baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini bagi memastikan usahawan Bumiputera mampu menempa kejayaan sekali gus membantu memulihkan ekonomi negara.

Pembentangan Bajet 2022 bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” baru-baru ini telah memperuntukkan sebanyak RM11.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM4.8 bilion dikhususkan untuk pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan yang akan disalurkan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), TEKUN Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

“Saya percaya melalui peruntukan yang diterima, PUNB akan mengukuhkan lagi strategi pembangunan perniagaan Bumiputera agar dapat melahirkan usahawan berdaya tahan dan progresif sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” kata Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan menerusi rakaman video di Majlis Ikon Inspirasi Impian anjuran PUNB.

Ismail Sabri turut memuji PUNB kerana bersama dengan kerajaan dalam memperkasa dan membantu ketahanan para usahawan dan perniagaan Bumiputera semasa pandemik ini menerusi pemberian moratorium pembiayaan dan pengecualian sewaan premis perniagaan secara berperingkat dari April 2020 sehingga Dis 2021.

“Sebagai usahawan, langkah ke hadapan adalah untuk anda menggunakan teknologi terkini dalam perniagaan untuk meningkatkan produktiviti, memberi jaminan dari segi kestabilan, kelestarian dan daya tahan sesebuah perniagaan selain peluang pasaran tanpa sempadan,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata syarikat Bumiputera Bateriku (M) Sdn Bhd yang juga usahawan PUNB telah beralih daripada perniagaan secara konvensional ke platform digital sepenuhnya melalui pembangunan aplikasi mudah alih Bateriku.Com, seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan melalui ekonomi gig kepada anak tempatan di seluruh negara.

“Ini bukti bahawa persekitaran perniagaan yang mencabar masa kini turut memerlukan usahawan untuk menjadi lebih kreatif dan berinonvasi dalam penghasilan produk dan perkhidmatan.

“Dua elemen ini penting untuk mengekalkan jenama perniagaan dalam pasaran, selain meningkatkan hasil jualan dan kepercayaan pelanggan,” jelas Ismail Sabri.

Justeru, beliau menambah usahawan Bumiputera boleh mengikut jejak penggiat bidang makanan dan minuman yang sentiasa berinovasi bagi memenuhi kehendak semasa pelanggan.

“Contohnya, kuih tradisional melayu iaitu ondeh-ondeh atau buah melaka telah dipelbagaikan menjadi bermacam jenis pencuci mulut seperti aiskrim dan juga sebagai perisa dalam minuman.

“Strategi ini amat bijak kerana pengusaha bukan sahaja menghasilkan produk baharu tetapi pada masa yang sama turut memartabatkan lagi kuih tradisi turun-temurun yang menjadi kegemaran Keluarga Malaysia,” katanya.

Selain itu, usahawan Bumiputera perlu berfikiran luar kotak agar perniagaan diusahakan berdaya saing dalam mendepani dunia yang semakin mencabar ini.

“Jika kurang berkemahiran, jangan segan untuk menjalin hubungan kerjasama dengan mana-mana pihak berkaitan agar idea anda dapat direalisasikan,” katanya sambil menambah usahawan boleh mendapatkan sokongan perniagaan yang ditawarkan oleh kementerian melalui agensi dan pihak berkaitan bagi membantu menjalankan perniagaan dengan lebih terurus. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.