RM1.05 Juta Dana Bangunkan i-Breath COVID-19 – Adham
KOTA TINGGI, 27 Nov – Sebanyak RM1.05 juta Dana Penyelidikan Strategik (SRF) diperuntukkan untuk pembangunan Peranti Mudah Alih Saringan dan Pemantauan COVID-19 (i-Breath).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata i-Breath yang diusahakan pasukan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu dijangka dikomersialkan dan dipasarkan pada akhir tahun depan.
Beliau berkata ia adalah satu kejayaan baharu dalam kaedah ujian COVID-19 selain Polymerase Chain Reaction (PCR) atau Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen yang digunakan pada masa ini.
“i-Breath dibangunkan menggunakan teknologi termaju berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dan boleh digunakan di mana-mana. Hanya mengambil masa sepantas 20 saat untuk mengetahui kehadiran COVID-19 dan kesensitiviti peranti ini adalah sehingga 93 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia Parlimen Tenggara dan Showcase Prototaip Peranti i-Breath di Pusat Perkhidmatan dan Transit Pelancongan Batu Ampat di sini hari ini.
Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata peranti berkenaan dalam peringkat prototaip dan kini dalam proses ujian klinikal selain perlu menunggu hingga tempoh enam bulan untuk disahkan.
“Selepas itu, prototaip ini akan diuji Kementerian Kesihatan (KKM) dan universiti berkenaan supaya ia menjadi satu produk bertaraf antarabangsa,” katanya sambil menambah pembangunan peranti berkenaan selaras dengan komitmen kementeriannya dalam membantu sektor kesihatan dan memperkasakan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Pembangunan peranti tersebut diketuai Pensyarah fakulti kejuruteraan UTM Prof Madya Dr Malarvili Bala Krishna dan ia dilengkapi skrin memaparkan ciri pernafasan dan membolehkan pemantauan kesihatan pengguna melalui telefon pintar.
Mengulas mengenai STIE Keluarga Malaysia Adham berkata ruang reka di Parlimen Tenggara adalah yang ketiga dibangunkan di negara selepas di Paroi, Negeri Sembilan dan Kuala Terenggangu, Terengganu.
Katanya, ruang reka adalah sudut inovasi digital serta makmal komputer dan direka bentuk untuk membudayakan kreativiti dan inovasi sekali gus membuka peluang pekerjaan serta perniagaan dalam kalangan masyarakat setempat.
STIE menyasarkan golongan pelajar dan belia serta syarikat pemula dan perusahaan kecil sederhana, ruang reka ini memberi pendedahan dan latihan kemahiran kepada peserta tentang penggunaan teknologi baharu seperti 3D printer, robotik dan virtual reality.- BERNAMA