Belanjawan 2022 : Perak Beri Fokus Utama Sektor Keusahawanan

BAGAN DATUK, 27 Nov – Belanjawan Negeri Perak 2022 akan memberi fokus utama kepada sektor keusahawanan bagi membantu usahawan di negeri itu yang terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perincian mengenai peruntukan dan jumlah usahawan yang menerima manfaat tersebut akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Disember ini.

“Walaupun kerajaan Persekutuan ada menyediakan bantuan kepada usahawan terjejas, tetapi kerajaan negeri juga menyediakan bantuan mikro kredit usahawan.

“Ini kerana ada sesetengah usahawan di peringkat negeri yang tidak dapat memenuhi kriteria atau syarat (permohonan bantuan usahawan) diumumkan oleh kerajaan Persekutuan jadi mereka tidak layak menerimanya jadi kita akan tampung (bantuan) dengan menggunakan dana kerajaan negeri,” katanya.

Saarani bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sesi town hall bersama usahawan sempena Program Mesra Menteri Besar Perak di daerah Bagan Datuk yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bagan Datuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.

Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri cuba mencari peruntukan bagi meneruskan beberapa projek pembangunan yang dibatalkan di Bagan Datuk semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

“Saya difahamkan lebih 53 peratus peruntukan untuk beberapa pembangunan seperti Bagan Datuk Water City di kawasan Bagan Datuk telah dipotong Menteri Kewangan ketika itu.

“Kita perlu menghargai orang di Bagan Datuk dan memberi keadilan kepada mereka jadi pembangunan di sini akan diteruskan bagi membolehkan kawasan di sini membangun setanding seperti mana daerah lain dan untuk kebajikan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata sejumlah RM14.4 juta diperuntukkan kerajaan negeri untuk membantu sektor pertanian di negeri itu pada tahun ini merangkumi bantuan bagi tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, tanaman industri, padi dan industri asas tani.

Beliau berkata antara program yang telah dilaksanakan adalah bantuan khas input pertanian, projek khas tani COVID-19, Program Bumi Hijau, Program Pinjaman Tabung Usahawan, Program Geran Usahawan Perak (GeRUP) serta bantuan sekali beri kepada penjaja dan peniaga kecil.

Katanya, kerajaan negeri melalui Sekretariat Pembangunan Usahawan (STeP) dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi juga telah melaksanakan lebih 95 program yang memanfaatkan 28,752 usahawan pelbagai kategori, terutamanya sepanjang berdepan pandemik COVID-19.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.