Masih Ramai Harapkan RM10,000 ‘One-off’ KWSP – Chew Sir Boon

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Pengerusi Perhubungan MCA Terengganu Chew Sir Boon berkata ketika ini ramai yang mengharapkan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi kelonggaran untuk pengeluaran RM10,000 secara one-off kerana mereka ingin melangsaikan hutang tertunggak.

Ujarnya, rakyat tidak mahu susah pada usia tua tetapi sekarang ini mereka berada dalam keadaan terdesak dan memerlukan duit simpanan dalam tabung berkenaan bagi menghadapi hari-hari mendatang.

“Kita tidak mahu Malaysia menjadi antara negara yang mempunyai jumlah individu muflis tertinggi yang pastinya memberi banyak kesan.

“Jika permintaan ini tidak dapat ditunaikan, adalah lebih baik sekiranya kerajaan dapat mengkaji semula bentuk bantuan yang boleh diberikan. Bantuan yang diberikan harusnya bersifat menyeluruh dan memudahkan rakyat untuk menerimanya.

“Kita tidak mahu ada diantara mereka yang merungut bantuan yang diberikan oleh kerajaan seolah-olah ‘pilih kasih’ dan memberi fokus kepada satu golongan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi MCA hari ini.

Chew berkata demikian mengulas mengenai bantuan kewangan seperti moratorium dan pengeluaran caruman KWSP i-Citra akan berakhir hujung tahun ini.

“Selepas itu apakah nasib yang akan menimpa rakyat Malaysia khususnya golongan muda setelah segala bentuk bantuan kewangan ini berakhir?

“Ramalan menyatakan peningkatan angka muflis golongan muda berusia 30 hingga 45 tahun akan meningkat menjelang tahun depan. Ia berdasarkan purata aduan 30 sehari yang diterima daripada individu yang berdepan masalah kewangan kepada Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia.

“Ramalan ini merupakan amaran tidak langsung kepada golongan muda supaya bijak dalam menguruskan perbelanjaan kerana kita tidak mahu mereka dihimpit kesusahan pada masa akan datang. Namun, jika mereka terdesak, kita tidak menolak mungkin ada diantara mereka yang bertindak meminjam wang daripada ah long demi meneruskan kehidupan seharian,” tegasnya.

Seterusnya katanya lagi, dalam masa sama, kerajaan menerusi kementerian atau agensi berkaitan perlu memainkan peranan untuk membantu golongan ini daripada terus dihimpit kesusahan kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan pada Mac 2020 akibat penularan COVID-19 cukup memberi kesan mendalam buat mereka. – UMNO ONLINE