Malaysia Bekerjasama Dengan Rakan ASEM Untuk Laksana VTL – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Malaysia ketika ini sedang bekerjasama dengan beberapa rakan Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) seperti Singapura dan Indonesia untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau berharap dengan penyambungan semula pergerakan penduduk antara negara akan membantu meningkatkan ekonomi, menghidupkan semula mata pencarian dan menyambung kembali hubungan silaturrahim.

“Matlamat utama kami adalah untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa, terutamanya mereka yang terdedah kepada pandemik dan hidup dalam keadaan yang mencabar,” katanya pada Sidang Kemuncak ASEM ke-13 yang diadakan secara maya, hari ini.

Ismail Sabri berkata meskipun membawa impak negatif, namun pandemik COVID-19 telah menyediakan peluang kepada dunia.

“Jelas sekali, kita semua terpaksa meningkatkan sumber kita bagi transformasi digital ketika kita membina semula sektor sosio-ekonomi kita seperti perniagaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

“Kita perlu melaksanakan inisiatif padu untuk mengemudi ASEM Connectivity lebih dekat kepada objektif dan prinsipnya,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru rakan-rakan ASEM untuk memudahkan akses pergerakan antara rakyat dan menggalakkan hubungan ekonomi yang lebih kukuh.

ASEM, proses antara kerajaan yang ditubuhkan pada 1 Mac, 1996, bertujuan untuk memupuk dialog dan kerjasama antara Asia dan Eropah, terdiri dari 21 negara Asia, 28 negara Kesatuan Eropah, dua negara Eropah, Sekretariat ASEAN dan Suruhanjaya Eropah.

Malaysia menyertai ASEM pada 1996 dan sejak itu giat menyertai dalam semua inisiatif ASEM yang memberi manfaat kepada kedua-dua rantau.

Tema tahun ini “Strengthening Multilateralism for Shared Growth” (Mengukuhkan Multilateralisme Bagi Pertumbuhan Bersama), adalah sejajar dengan usaha yang dilaksanakan ASEM ketika ini dalam menangani cabaran global menerusi kerjasama dialog yang efektif. – BERNAMA