PRN Sarawak: KKM, MKN, POLIS, JPBN Sedang Kemas Kini Garis Panduan Cegah COVID-9

KUCHING, 24 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), polis serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sedang mengemas kini Garis Panduan Pencegahan COVID-19 bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan hari ini berkata garis panduan itu akan dimaklumkan kepada orang ramai selepas dimuktamadkan nanti.

Sementara itu katanya permohonan undi pos bagi warganegara Malaysia yang berada di luar negara serta sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan, akan dilaksanakan secara dalam talian, berbanding secara manual sebelum ini.

Beliau berkata permohonan untuk mengundi secara pos ini boleh dilakukan melalui MySPR Daftar di pautan http://mysprdaftar.spr.gov.my.

Menurutnya SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRN ini, dan bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen “Jom Kita Undi” melalui pelbagai saluran media.

Abdul Ghani berkata SPR juga akan terus membuat beberapa penambahbaikan para PRN ini, termasuk memanjangkan tempoh masa pengundian selama 30 minit dari pukul 7.30 pagi hingga 5 petang, berbanding pada PRU-14 lepas iaitu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata selain itu SPR turut menyediakan saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas di setiap Pusat Mengundi.

“Pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) pula akan mengundi di Saluran 1. Seramai 13,871 orang pengundi OKU telah dikenal pasti dan mereka adalah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Terdahulu, Abdul Ghani memaklumkan SPR telah menetapkan 18 Dis sebagai tarikh pengundian PRN Sarawak ke-12 manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 6 Dis dan pengundian awal pada 14 Dis. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.