Hari Penentuan PRN Melaka: 476,037 Pengundi Bakal Tunai Tanggungjawab

MELAKA, 20 Nov – Hari ini, dalam tempoh tiga tahun setengah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat Melaka sekali lagi akan keluar mengundi bagi memilih kerajaan bagi mentadbir negeri itu.

Mengikut data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini seramai 476,037 orang pengundi biasa bakal mengundi bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang di 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran.

Selasa lalu, sejumlah 89.90% daripada 11,557 orang pengundi atau 10,390 orang pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal.

(Gambar hiasan)

Memandangkan negara masih dilanda pandemik COVID-19, SPR mewajibkan semua pengundi yang hadir ke pusat pengundian memakai pelitup muka separuh (face mask), melalui proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama di saluran dan dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

PRN Melaka memperlihatkan seramai 112 calon menawarkan diri mewakili parti masing-masing di mana Barisan Nasional (BN) meletakkan calonnya di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN); Perikatan Nasional (PN) juga di 28 kerusi; Pakatan Harapan (PH) (28 kerusi); Putra (5 kerusi); Iman (1 kerusi); dan Bebas (22 kerusi).

BN menampilkan 86 peratus muka baharu dan hanya mengekalkan empat penyandang iaitu Datuk Seri Sulaiman Md Ali di DUN Lendu, Datuk Rahmad Mariman DUN Ayer Molek, Datuk Muhammad Jailani Khamis DUN Rembia dan Datuk Zaidi Attan DUN Serkam.

BN yang selama ini berjaya membangunkan, memakmurkan dan seterusnya memajukan negeri Melaka sehingga tersohor sebagai negeri pelancongan tampil dengan menawarkan manifestonya bertemakan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’.

Manakala PN dengan ikrarnya berslogankan ‘Melaka Bangkit Gemilang’ turut memaparkan poster dan papan iklan ‘Abah Sayang Melaka’ di seluruh negeri.

PH pula tidak lagi menamakan janji-janji mereka sebagai manifesto tetapi dikenali Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan.

Kempen sepanjang dua belas hari PRN Melaka yang bermula 8 Nov lalu merupakan suatu norma baharu yang perlu dilalui oleh semua parti yang bertanding.

Bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dalam berkempen tidak seperti pilihan raya kecil DUN Chini, Slim dan PRN Sabah yang terdapat sedikit kelonggaran.

Antaranya, tiada perarakan calon ketika hari penamaan, hanya dibenarkan satu sahaja bilik gerakan bagi setiap DUN, tiada lagi ceramah dan perkumpulan bersemuka kecuali mesyuarat, tidak dibenarkan aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah pengundi, tiada ‘walkabout’ dan kumpulan penyokong tidak dibenarkan berkumpul merayu undi pada hari pengundian.

Jelas kelihatan, sejak dua minggu lalu calon memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium atas talian atau melalui saluran media massa dan media sosial.

Tidak keterlaluan juga jika boleh dikatakan PRN Melaka ini menjadi pilihan raya yang paling aman apabila tidak timbul suasana huru-hara dan kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang kempen berlangsung.

Walaupun begitu, dilaporkan beberapa pihak dikenakan kompaun oleh KKM ekoran pelanggaran SOP yang telah ditetapkan dan sebuah bilik gerakan sebuah parti yang bertanding diarahkan tutup berikutan terdapat pengesanan kes positif COVID-19 di premis berkenaan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.