Rundingan Kerusi: Kenyataan MB Terengganu Tidak Tepat, Mengelirukan… Abdul Rahman Jelaskan Situasi Sebenar

MELAKA, 19 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai isu rundingan pengagihan kerusi UMNO, PPBM (Bersatu) dan PAS bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Kata Abdul Rahman, lebih-lebih lagi kenyataan itu dikeluarkannya di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang mana sepatutnya tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan di dalam dewan yang mulia.

“Apa yang berlaku dalam rundingan kerusi di antara UMNO, Bersatu dan PAS, saya tahu kerana saya adalah salah satu wakil UMNO. Tidak ada satu persetujuan yang dicapai di dalam rundingan tersebut sepertimana yang didakwa oleh Menteri Besar Terengganu.

“Kononnya UMNO engkar kepada keputusan yang telah dicapai kerana seorang individu yang digelarnya ‘abang long’ telah membuat keputusan untuk tidak menghormati persetujuan tersebut.

“Yang berlaku dalam perundingan ini adalah satu masalah yang besar bila mana parti Perikatan Nasional (PN)/Bersatu meletakkan syarat yang terlalu ketat, tidak munasabah dan tidak boleh diterima oleh UMNO. Kita kena ingat pada 22 Okt Pengerusi PN telah membuat keputusan melalui kenyataan akhbar bahawa PN meletakkan calon di 28 kerusi DUN. Pun begitu UMNO berlapang dada dan berjiwa besar kerana 27 Okt kita datang untuk mendengar hujah dan pandangan dari pihak Bersatu dan PAS,” ujar Abdul Rahman dalam satu video yang disiarkan di Facebooknya.

Jelas Abdul Rahman yang terlibat di dalam rundingan tersebut, mereka telah meletakkan syarat-syarat yang tidak munasabah dan sukar untuk diterima oleh UMNO.

“Antara syaratnya ialah Timbalan Presiden Bersatu menyatakan bahawa UMNO tidak boleh dibenarkan bertanding di dalam sejumlah kerusi yang membolehkan UMNO membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Alasan Timbalan Presiden Bersatu ialah UMNO mungkin tidak akan memberikan jawatan-jawatan exco, ahli-ahli majlis dan ketua kampung kepada Bersatu dan PAS.

“Walaupun kita telah menjelaskan dalam mesyuarat rundingan tersebut semua kuota boleh dimasukkan dalam perjanjian bertulis yang boleh dibuat antara parti-parti yang ingin bertanding di dalam PRN ini,” katanya lagi.

Manakala syarat kedua tambah Abdul Rahman, Bersatu mahu menentukan siapa calon Ketua Menteri daripada UMNO.

“Kedua-dua syarat ini tidak boleh diterima oleh UMNO. Biar UMNO tentukan calon Ketua Menterinya sendiri,” tegasnya lagi.

Berhubung dengan pembahagian kerusi, Abdul Rahman berkata UMNO berpandangan ia hendaklah bersandarkan kepada fakta dan hakikat.

“UMNO tidak mahu berunding kerusi dengan hanya mengambil kerusi Melayu kemudian dibahagi dua, sebahagiannya diberi kepada BN dan sebahagiannya pula kepada PN.

“Itu adalah formula yang tidak boleh diterima. Itu adalah formula yang menidakkan potensi yang terbaik untuk memenangi kerusi-kerusi tersebut,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.