Malaysia Perlu Kekalkan Paksi Asean Dalam Kebangkitan Semula Persaingan Geopolitik Oleh Kuasa Besar

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Diplomasi Malaysia perlu berusaha keras untuk mengekalkan persamaan jarak ASEAN sebagai sebuah organisasi dalam suasana kebangkitan semula persaingan geopolitik dalam kalangan kuasa besar, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Penaung Diraja Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) itu bertitah adalah penting untuk Malaysia dan ASEAN bekerjasama dengan semua negara untuk keamaan dan kemakmuran bersama, walaupun sesetengah negara anggota mungkin mudah terpengaruh kepada fahaman atau tekanan untuk menyebelahi satu pihak atau pihak yang lain.

“Malaysia dan ASEAN kekal neutral pada masa lepas. Mereka menjauhkan diri daripada konfrontasi dan konflik.

“Menjadi harapan besar kami agar persaingan (antara kuasa besar) terus aman dan baik serta tidak menjadi bertambah buruk kepada konfrontasi terbuka,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada titah diraja bertajuk ‘Shaping A New Generation of Diplomats’ sempena sambutan ulang tahun ke-30 IDFR di institut itu di sini hari ini.

Baginda bertitah Malaysia juga perlu meneruskan kerjasama strategik yang meningkat dengan negara-negara sealiran, khususnya di rantau ini untuk memanfaatkan peluang baharu dalam persekitaran yang sangat kompetitif dalam dunia global.

Titahnya, dalam hal ini, Malaysia dan negara jiran Asia Tenggara telah melakukan yang terbaik untuk mengoptimumkan keupayaan politik dan diplomatik mereka sebagai kuasa kecil ke sederhana, dengan memanfaatkan regionalisme atau semangat keserantauan untuk lebih memperkasakan diri mereka.

“Memandangkan Malaysia menghampiri giliran seterusnya sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Kementerian Luar harus merangka keutamaan yang menggalakkan kesejahteraan negara dan serantau, dengan sokongan rakan serantau,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah diplomasi Malaysia juga mesti komited untuk meningkatkan usahanya bekerjasama dengan kerajaan dan institusi bukan kerajaan antarabangsa yang lain bagi memelihara orde antarabangsa yang lebih aman, adil dan berperikemanusiaan.

Baginda bertitah institusi seperti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah penting untuk mempromosikan kedaulatan undang-undang dalam hubungan antara negara manakala organisasi kemanusiaan seperti Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah membentuk sebahagian daripada orde antarabangsa yang berusaha untuk mendisiplinkan pengendalian peperangan dan meringankan penderitaan mereka yang terjejas.

“Melihat kepada abad ke-21 yang semakin maju, Wisma Putra perlu melaksanakan penglibatan lebih intensif dengan sektor swasta dan organisasi masyarakat sivil di tanah air dan luar negara. Malaysia amat bergantung kepada sektor swasta untuk menjana pendapatan negara,” titahnya.

Dalam titahnya, Sultan Nazrin turut menzahirkan pendapatnya mengenai apa yang membentuk generasi baharu diplomat dengan menyatakan bahawa diplomat Malaysia perlu terus memupuk dan meningkatkan peranan mereka sebagai ahli sejarah, saintis, komunikator dan birokrat untuk membantu Wisma Putra melengkapkan diri dengan lebih baik.

Baginda bertitah diplomat yang kurang menghayati sejarah mungkin bergelut untuk menghasilkan analisis tepat dan bijak yang penting untuk membuat dasar luar negara yang kukuh, manakala pemahaman yang munasabah terhadap sains juga penting buat mereka untuk bertindak balas dengan berkesan kepada isu dasar luar negara yang kompleks dan mendesak pada masa ini.

“Ini termasuk pandemik COVID-19, krisis iklim dan teknologi baharu, yang semuanya dikaitkan dengan apa yang disebut sebagai ancaman keselamatan ‘bukan tradisional’,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah sebagai komunikator, diplomat digalakkan untuk mendukung diplomasi digital bagi melengkapkan diplomasi bersemuka kerana ia boleh membantu mengunjurkan kedudukan dasar luar sebuah negara kepada khalayak dari dalam dan luar negara.

“Pengetahuan dengan platform media sosial dan kesedaran mengenai nilai dan masalah yang mungkin ditimbulkan, adalah penting untuk diplomat pada abad ke-21,” titahnya.

Sementara itu, sebagai birokrat, diplomat bersama Kementerian Luar memainkan peranan utama dalam merangka dasar luar kerana mereka menimbang kepentingan negara yang berkaitan dengan isu luar serta menilai cabaran dan peluang yang dikemukakan mereka.

Baginda bertitah agensi lain mungkin boleh menerajui bidang tertentu dalam forum antarabangsa seperti perdagangan, pertahanan dan keselamatan bagaimanapun perkara yang amat diperlukan dalam kesemua itu ialah Wisma Putra kerana mereka menyelesaikan kepentingan yang bercanggah dan saingan keutamaan, jika ada, berdasarkan kepentingan terbaik negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.