Perancang Bandar Berperanan Penting Laksana Agenda Bandar Daya Tahan Pandemik

PUTRAJAYA, 17 Nov – Perancang bandar di negara ini memainkan peranan penting dalam melaksanakan agenda perancangan bandar bersifat daya tahan pandemik dengan mengambil kira aspek pengurusan risiko bencana (DRM), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata ini kerana pandemik COVID-19 telah membuka keperluan kepada perancang bandar agar tidak hanya tertumpu kepada aspek struktural dan pembangunan infra semata-mata.

“Pandemik COVID-19 membuka keperluan penting perancangan bandar untuk melihat aspek kemakmuran, mobiliti, daya tahan ekonomi dan mitigasi kemungkinan berlakunya kawasan bandar sebagai ‘epi-centres’ merebaknya sebarang wabak pada masa akan datang,” katanya.

Berucap pada sambutan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar di Malaysia yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini, Reezal Merican berkata dalam suasana pascapandemik, elemen ‘urban-resiliency’ (daya tahan perbandaran) dalam aspek perumahan dan ruang awam, wajar dijadikan keutamaan.

Bagi mencapai agenda tersebut, beliau mahu perancang bandar berpegang kepada visi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu Meneraju Kemakmuran Komuniti Bandar dan Persekitaran Mampan serta menumpukan kepada doktrin perancangan sejagat yang mengintegrasikan nilai kerohanian.

“Ia mengambil kira tiga hubungan utama iaitu manusia dengan pencipta, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekitar,” kata Reezal Merican.

Dalam usaha menekankan keutamaan memperkasakan agenda Malaysia Berdaya Huni, Reezal Merican berkata KPKT sedang berusaha untuk menyegerakan pembangunan kerangka dan Indek Daya Huni model Malaysia.

Beliau berkata Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia atau MURNInets yang dibangunkan PLANMalaysia boleh menjadi kerangka teras Indeks Daya Huni Malaysia.

Mengenai Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) yang dilancarkan Ismail Sabri pada majlis hari ini, Reezal Merican berkata ia akan terus mendokong aspirasi pembangunan tiga RFN terdahulu dalam membentuk satu pelan pembangunan yang menyeluruh.

RFN4, katanya memberi penekanan kepada aspek perancangan keselamatan negara, peningkatan infrastruktur digital, pembangunan bercirikan pintar, menjadikan Malaysia ke arah neutral karbon, jaminan sekuriti makanan negara dan pembangunan komuniti yang inklusif dan berdaya huni.

RFN dikaji setiap lima tahun bagi memastikan kesesuaian RFN selaras perubahan pesat persekitaran fizikal, ekonomi, sosial dan alam semulajadi. RFN1 dilancarkan pada 2005, RFN2 pada 2010, dan RFN3 pada 2016. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.