Tekan Butang Atau Tekanan… Soal Azhari Kepada Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Ketua UMNO Shah Alam Datuk Azhari Datuk Shaari berpandangan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin tidak perlu melenting hanya kerana tercabar dengan kata-kata pemimpin lain.

Menurut beliau apabila Muhyiddin berkata boleh menekan butang untuk menjatuhkan kerajaan Johor hanya kerana tercabar, ia bukanlah satu tindakan yang boleh dibanggakan.

“Tidak perlulah melenting hingga ke tahap itu, kerana politik sedemikian menonjolkan sisi sebenar beliau yang sebelum ini diangkat selama 18 bulan sebagai Perdana Menteri di bawah Perikatan Nasional (PN) yang turut didokong ahli Parlimen UMNO.

“Tan Sri juga jangan pula lupa sebelum ini Bersatu (PPBM) di bawah Pakatan Harapan (PH), apa yang Tan Sri tidak kata tentang UMNO yang bersama Tan Sri dalam PN. Siapa yang pernah berkata, UMNO parti yang sudah hendak masuk longkang. Kata-kata itu semua masih diingati oleh ahli UMNO, jangan dek kerana merebut kuasa di Melaka kita tergamak mengungkit itu dan ini.

“Jangan lupa apa yang telah berlaku sebelum dan semasa Tan Sri bersama PH, kita semua masih ingat. Tan Sri sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Nasional (MPN) sepatutnya membicarakan soal bagaimana memastikan rakyat negara ini boleh dipulihkan motivasi mereka untuk kembali bangkit selepas pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Kata Azhari lagi, kempen politik melampau sebegini bukan sahaja mengguris hati rakan dalam PN tetapi rakyat yang cukup tertekan dengan sosial dan ekonomi.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tak perlulah disalahkan UMNO kerana yang menarik sokongan bukan semuanya dari parti keramat itu. PRN Melaka bukan sahaja soal menekan butang, tetapi fikirkanlah adakah kalah menang segalanya dalam perjuangan politik, kerana esok-esok selepas PRN pasti berjumpa semula di mana-mana. Berpada-padalah,” ujarnya.

Muhyiddin sebelum ini menyifatkan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai ‘bodoh’ kerana mencabar PPBM untuk menarik balik sokongannya kepada kerajaan negeri Johor pimpinan UMNO dan mengadakan PRN seperti di Melaka.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Shahrir yang mencabar PPBM menarik sokongan kepada Menteri Besar Johor.

Ini susulan Muhyiddin ketika berucap pada satu majlis di Shah Alam, baru-baru ini, menyifatkan UMNO sebagai parti yang mementingkan diri sendiri, walaupun ketika rakyat berdepan ancaman COVID-19. – UMNO ONLINE

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.