Co-Opbank Pertama Sasar Keuntungan 2021 Cecah RM90.98 Juta

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Co-opbank Pertama (CBP) menyasarkan keuntungan tahun ini mencecah RM90.98 juta berbanding RM85.11 juta pada 2020, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Malah, katanya, sehingga September 2021, CBP telah mencatatkan keuntungan berjumlah RM63.14 juta yang dipacu oleh pelbagai portfolio di bawah bank koperasi tersebut.

Menurutnya, CBP turut menyasarkan pertumbuhan sekitar 10 peratus hingga 15 peratus bagi 2022.

“CBP telah dikenal pasti sebagai penyediaan sumber dana kepada gerakan koperasi dalam bidang peladangan, pertanian, pelancongan, peruncitan dan perumahan.

“Peranan CBP dalam menjalankan Pelan Transformasi Koperasi Negara 2021-2025 juga amat penting dalam memastikan kebergantungan kepada dana kerajaan dapat dikurangkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai pelaksanaan Federasi Perkhidmatan Kewangan Koperasi di sini, hari ini.

Mengulas prestasi dan prospek CBP bagi tahun depan, Noh berkata bank koperasi itu akan memperkenalkan beberapa produk baharu berkaitan perbankan runcit.

Menurutnya, CBP akan turut memperkukuh inisiatif digitalisasi bagi meningkatkan capaian kepada pelanggan baharu serta bagi kemudahan pelanggan sedia ada.

Selain itu, Noh juga berharap agar lebih banyak koperasi bertindak menukar status kepada bank koperasi yang dapat terus membantu ahli-ahli terbabit.

“Sebagai contoh, CBP mempunyai ahli iaitu sebanyak 91,730 individu dan 720 koperasi dengan syer anggota bernilai RM947 juta.

“Oleh itu, dengan menjadi ahli, ia turut membuka peluang bagi kalangan rakyat terutama Bumiputera membuat pinjaman termasuk untuk memperluas perniagaan masing-masing,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.