Semua Tadika Dan Taska Beroperasi Sepenuhnya Januari Depan

BUTTERWORTH, 14 Nov – Semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), akan beroperasi sepenuhnya menjelang Januari tahun depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ketika ini 10,301 kelas Tadika dan 544 kelas Taska itu, beroperasi mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua institusi pendidikan awal kanak-kanak itu ketika ini beroperasi mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan ditetapkan, jadi ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak-anak, kerana KEMAS mengambil semua langkah yang sepatutnya bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.

“Kami menjangkakan awal tahun depan semua tadika dan taska Kemas akan beroperasi sepenuhnya. Apapun, kita telah bersedia (jika operasi taska dan tabika Kemas dibuka sepenuhnya nanti). Guru-guru pun semua telah lengkap divaksin ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B Malaysia), di sini malam tadi.

Hadir sama Presiden Alumni 4B Malaysia Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Husaini, dan pada majlis itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar yang turut hadir, menerima anugerah penghargaan khas di atas sumbangannya terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebelum ini.

Sementara itu, Mahdzir berkata agensi atau jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) ketika ini, bersedia memberi ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana NGO termasuk Alumni 4B Malaysia, demi membangunkan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya matlamat penting menerusi hasil kerjasama itu ialah untuk mencapai kejayaan untuk semua dan ia boleh dilakukan sama ada menerusi kajian, kerjasama keusahawanan atau sebarang program berkaitan demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya seperti Alumni 4B Malaysia merupakan antara NGO yang mempunyai keahlian yang ramai ketika ini, iaitu sehingga 75,000 ahli dan pertubuhan itu juga sentiasa aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, kesukarelawanan dan sebagainya.

“Alumni 4B Malaysia ini adalah sebuah alumni NGO yang telah berada di ‘ground’. Oleh itu, mereka boleh tengok macam mana nak bantu, contohnya mungkin mereka dapat salurkan maklumat dan berikan latihan atau khidmat kepada Keluarga Malaysia kita, dengan kerjasama daripada agensi serta jabatan dibawah KPLB,” katanya.

Beliau berkata Alumni 4B Malaysia juga merupakan kesinambungan daripada Gerakan Belia 4B, dan ini akan memberi kelebihan kepada pertubuhan itu kerana mereka terdiri daripada dua generasi iaitu muda dan lebih dewasa.

“Saya berharap lebih banyak NGO seperti ini, akan bersama-sama kerajaan dan menyokong serta mendokong dasar selaras dengan mesej yang dibawa oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) iaitu untuk Keluarga Malaysia,” katanya. – BERNAMA