Manifesto Terbaik, Sudah Terbukti… Ayuh Undi BN – Ahmad Maslan

HANG TUAH JAYA, 12 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meluahkan keterujaan beliau dengan manifesto Barisan Nasional (BN) yang disifatkannya sebagai realistik, inklusif dan komprehensif.

Ahli Parlimen Pontian itu juga percaya bahawa janji yang ditawarkan mampu membawa Melaka menjadi negeri yang terbaik dan cemerlang sekiranya BN diberi kepercayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kali ini.

“Apabila saya sebut inklusif ini ia melibatkan B40, M40 dan juga T20 dan pada ketika yang sama ia juga membela belia, wanita dan juga orang kurang upaya (OKU), warga emas.

“Itu dari segi sasaran yang sangat inklusif selain daripada hendak menyelesaikan masalah-masalah banjir dan sebagainya dan agar Melaka akan terus menjadi negeri pelancongan yang moden dan baik dengan adanya manifesto ini.

“Realistik itu boleh dibuat, inklusif melibatkan semua pihak, komprehensif pula melibatkan pelbagai sudut termasuk ekonomi, sosial dan budaya. Senang sahaja buat pilihan sudah terbukti ayuh kita undi BN,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Tambahnya lagi, manifesto ini juga akan ditambah baik mengikut keadaan semasa selain dimasukkan ketika pembentangan bajet oleh kerajaan negeri.

“Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang malah fokus pada rakyat untuk kita menumpukan kepada pendidikan, kesihatan, perhubungan, pembangunan, pertanian, pelancongan. Perkara yang berhubung kait dengan rakyat.

“Bukan menjanjikan perkara-perkara yang pelik yang tidak boleh ditunaikan jadi BN memberikan suatu yang cukup realistik.

“Kenapa kita hendak mencuba sekali lagi melakukan kesilapan dengan memilih parti-parti yang tidak ada rekod panjang memajukan negeri serta negara?,” soal beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit