Along Cerminan Budaya Baru: Kempen Secara Positif, Fokus Pada Tawaran BN – Shahril Hamdan

ALOR GAJAH, 12 Nov – Setelah lima hari berkempen, calon-calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Pilihan Raya Negeri Melaka, dilihat telah berjaya menyesuaikan diri dengan norma baharu berkempen, selain mula menerima sokongan positif di kawasan-kawasan yang ditandingi berbanding pencabar dari parti-parti lain.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, hari ini beliau meluangkan masa membantu calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan atau lebih mesra sebagai ‘Along’, yang dilihat sebagai calon baharu yang mempunyai kreadibiliti dan keazaman untuk berkhidmat kepada masyarakat di kawasannya.

 

“Saya kira, Along membawa cerminan baru budaya BN dalam meraih undi, inilah cara kempen yang Along bawa dan ianya bersifat ‘positif’ tidak ada kempen negatif walaupun ada salah seorang dari calon yang berprofil tinggi yang cuba menaikkan sentimen negatif tapi beliau dapat mencerminkan budaya baru BN.

“Saya melihat apa yang dibawa oleh calon Asahan di sini konsisten dengan apa yang dilihat di tempat-tempat lain di mana calon BN ditampilkan bukan hanya mempunyai keterampilan dan profil yang merasakan pengundi boleh tertarik tetapi janji dan tawaran calon amat spesifik khususnya mencerminkan pengalaman BN yang tahu meletakkan calon yang sesuai pada tempatnya,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia amat tertarik dengan tawaran dan aku janji tempatan yang diketengahkan Along, antaranya membina sebuah masjid baharu di Selandar, menaik taraf sektor pertanian dan ekonomi untuk orang muda di Alor Gajah khususnya di Asahan sekiranya diberikan mandat.

“Seandainya dipilih dan mendapat mandat beliau akan mengusahakan sebuah masjid baru yang dibina di Selandar dan ini mencerminkan ‘cakna’ keperluan masyarakat setempat dan juga kemudahan-kemudahan sukan untuk orang muda sesuai dengan keperluan setempat.

“Beliau akan membawa petani-petani muda di Asahan ke satu era atau ke satu fasa yang lebih maju, seperti contoh penditigalan, teknologi-teknologi dan Along akan membantu untuk memastikan ada penambahan dan peningkatan taraf kualiti hidup dan ekonomi orang muda,” tegasnya.

Fairul Nizam yang mewakili BN bakal berdepan pertembungan enam penjuru di kerusi DUN Asahan bersama tiga calon Bebas, Azmar Abdul Hamid, 49; Mohd. Akhir Ayob, 50; dan Mohd. Nor Salleh, 43, serta Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Idris Haron dan Perikatan Nasional (PN), B. Dhanesh, 29.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DUN Asahan dimenangi calon BN, Datuk Abdul Ghafar Atan dengan majoriti 275 undian menewaskan calon PH, Zamzuri Arifin dan calon Pas, Azlan Maddin. – UMNO-Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit