Nilai Murni, Integriti Menyeluruh Penting Dalam Mendepani Cabaran Ekonomi, Fasa Endemik

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Pengamalan nilai-nilai murni atau integriti secara menyeluruh oleh semua Keluarga Malaysia amatlah penting dalam berdepan dengan keadaan ekonomi yang mencabar serta fasa endemik COVID-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata semangat integriti Keluarga Malaysia sangat dituntut dalam membentuk satu masyarakat yang menghargai semangat keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran hidup dalam mendepani cabaran fasa endemik COVID-19 itu.

“Integriti merujuk kepada pengamalan nilai-nilai murni secara menyeluruh dan berkesan. Hanya masyarakat yang mempunyai serta mengamalkan nilai-nilai murni mampu mewujudkan sebuah masyarakat yang bebas rasuah dan bebas daripada perbuatan-perbuatan yang melanggar etika.

“Analoginya mudah, sebuah keluarga yang mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti tinggi tentulah kebarangkalian untuk ahli keluarga tersebut terlibat dengan isu-isu berkaitan pelanggaran integriti, rasuah atau sebarang kes jenayah pada masa hadapan adalah amat rendah ataupun sangat tipis,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian penutup Konvensyen Integriti Nasional 2021 diadakan secara hibrid hari ini.

Teks ucapan Ismail Sabri dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ismail Sabri berkata penerapan dan pembudayaan nilai-nilai integriti dalam sebuah keluarga perlu disokong dan didukung oleh semua ahli keluarga terbabit dengan ibu bapa menjadi contoh teladan terbaik.

Beliau berkata usaha penyemaian nilai-nilai murni dan integriti juga patut diperluas dan diperkukuhkan dengan menjadikan integriti sebagai agenda Keluarga Malaysia.

Mengambil contoh negara-negara yang mempunyai kedudukan teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) seperti New Zealand, Denmark dan Finland, Ismail Sabri berkata kejayaan negara-negara tersebut dalam memerangi jenayah rasuah berpunca daripada penyemaian nilai-nilai murni dan integriti dalam kalangan rakyat mereka bermula dari rumah sebagai institusi pendidikan pertama.

“Usaha mereka ini jika dikaji mengambil masa lama dan gerakan ini perlulah satu komitmen dan gerakan yang menyeluruh. Dalam RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12) sasaran CPI Malaysia pada 2025 adalah berada dalam kelompok 30 negara terbaik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kesemua matlamat serta perancangan yang digariskan dalam RMK12 hanya boleh dicapai jika semua Keluarga Malaysia bersama-sama menjayakannya dengan menjadikan agenda integriti sebagai teras utama.

“Saya menyeru kepada semua pihak berkaitan untuk bersama-sama menjayakan RMK12 ini dengan meletakkan integriti sebagai asas dan mengelakkan sebarang konflik berkepentingan peribadi demi keluarga kita, Keluarga Malaysia,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.