Undang-Undang Berkaitan Perjudian Diteliti, Kajian Sedang Dijalankan – KDN

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Kerajaan sedang meneliti undang-undang berkaitan judi sedia ada untuk tujuan pindaan penambahbaikan bagi memastikan undang-undang itu relevan dengan perubahan modus operandi sindiket perjudian terutamanya perjudian dalam talian.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata justeru, Kementerian Dalam Negeri telah terlibat dalam kajian undang-undang berkaitan perjudian yang sedang dijalankan oleh Kementerian Kewangan untuk ditambah baik supaya sentiasa selaras dengan perkembangan semasa.
Ismail Mohamed Said
Beliau berkata ia antara langkah yang diambil dan dirancang oleh kerajaan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan serta membanteras kegiatan perjudian yang dijalankan sama ada oleh orang perseorangan atau sindiket.

“Langkah lain adalah mengadakan operasi dan serbuan secara berterusan melalui Op Dadu termasuklah operasi bersepadu dengan kerjasama agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melumpuhkan kegiatan ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Noorita Sual (PH-Tenom) mengenai langkah dan tindakan undang-undang yang diambil bagi membendung dan membanteras perjudian dalam talian yang semakin berleluasa.

Ismail berkata PDRM juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi sekatan laman sesawang perjudian di bawah Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, PDRM juga bekerjasama dengan syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat bekalan air untuk tindakan pemotongan bekalan elektrik dan air terhadap premis yang sering digunakan oleh sindiket perjudian.

Selain itu, PDRM juga mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan itu termasuk penjaga premis dan penganjur kegiatan perjudian tanpa lesen di bawah peruntukan undang-undang berkaitan judi sedia ada seperti Akta Rumah Judi Terbuka 1957 dan Akta Pertaruhan 1953.

Beliau berkata sebanyak 2,294 pertuduhan melibatkan perjudian dalam talian direkodkan di seluruh negara pada 2019; 2,911 pertuduhan pada 2020; dan 2,165 pertuduhan tahun ini. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.