Percaturan Politik Penting Kembalikan Kerajaan Stabil – Dr Sadad

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Penganalisa politik tempatan, Dr Mohd Sadad Mahmud menekankan perlunya kestabilan politik sebagaimana rentetan kerajaan yang tidak stabil akan membawa politik Malaysia terus bergolak dan tidak pernah selesai.

Katanya, Malaysia telah bertukar tiga kali Perdana Menteri dalam satu penggal akibat daripada situasi yang tidak stabil.

“Kini politik negara akan berhadapan pula dengan PRN Melaka. Sampai bilakah kegilaan politik ini akan berakhir?

“Mungkinkah rakyat negeri Melaka juga akan menerima Ketua Menteri yang ketiga dalam satu penggal?” soalnya dalam kenyataan kepada UMNO Online.
Dalam hal ini beliau menekankan berkaitan pentingnya setiakawan dan lawan dalam persaingan politik di Malaysia sebagaimana terlihat menerusi PRN Melaka.

“Keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pas telah memutuskan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka. Adakah ini bermaksud Pas melanggar janji Muafakat Nasional (MN)?

“MN telah dimeterai ketika Pas dan UMNO ketika menjadi pembangkang dengan semangat air mata orang Melayu yang inginkan perpaduan umat Islam sepenuhnya.”

Jelasnya, sejarah politik Pas di Melaka hanyalah kemenangan dua kerusi DUN iaitu Dr Mohd Nor Nordin di DUN Tanjung Minyak (1974) dan Mohd Khalid Kassim di DUN Bukit Baru (2013) dan pada PRU-14, Pas tidak memenangi sebarang kerusi walaupun bertanding 24 kerusi DUN di Melaka.

“Sementara Barisan Nasional (BN) memenangi 13 kerusi daripada 28 kawasan DUN yang ditandingi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 15 kerusi.

“Sebenarnya terdapat beberapa kerusi yang boleh dimenangi pada PRU-14 sekiranya MN berganding bahu bersama dalam pilihan raya iaitu DUN Gadek, Durian Tunggal, Kelebang, Duyong, Telok Mas dan Bemban.”

Tekannya yang juga pensyarah kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), harus diingatkan bahawa terdapat 23 kerusi DUN majoriti Melayu melebihi 60 peratus di Melaka.

“Sekiranya kemenangan di kerusi-kerusi tersebut menjadi kenyataan seharusnya ia akan menjadi titik tolak kerjasama politik MN yang lebih besar dan jauh kehadapan di dalam membela nasib umat Melayu dan agama Islam di Malaysia.

“Sebagai parti politik yang terbesar dan tertua seharusnya MN tidak boleh berpisah sama sekali.

“Namun, masing-masing boleh bergerak dalam ruang lingkup yang tersendiri dan saling membantu untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya,” katanya lagi.

Dilaporkan, PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov, manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.