i-Sinar Beri Sinar Harapan Kepada Yang Memerlukan, Kerajaan Perlu Teliti Semula – Mohd Hairi

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menggesa kerajaan supaya meneliti semula keperluan pemberian i-Sinar sekiranya bukan dengan nilai RM10,000 mungkin dikurangkan kepada RM5,000 kerana ianya lebih baik ada daripada tiada langsung.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata ini bukanlah satu ‘political mileage’ yang ingin dibawa Pemuda UMNO Negeri Johor tetapi adalah soal survival kehidupan rakyat di bawah yang amat-amat memerlukan.

“Apatah lagi rakyat yang tinggal di tengah bandar dan kota raya amat menunggu pengumuman Bajet 2022, malah ada sesetengah mereka sudah pun merancang membayar pelbagai hutang jika wang i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat dikeluarkan.

“Pemuda UMNO Negeri Johor berharap kerajaan dapat mendengar nadi dan suara rakyat yang memerlukan, berilah mereka sinar untuk meneruskan kehidupan.

“Kami mohon di dalam perbahasan Parlimen yang sedang berlangsung, semua Ahli Parlimen dapat meluahkan dan menyatakan permohonan untuk tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di saat rakyat di bawah sedang menderita,” katanya menerusi satu kenyataan kepada UMNO Online.

Jelas beliau, masih terdapat suara-suara dan luahan daripada masyarakat yang ternanti-nanti dengan pengumuman i-Sinar namun kecewa selepas mengikuti sesi pembentangan bajet berkenaan.

“Saya mendengar rintihan mereka yang semuanya amat ternanti-nanti dan memerlukan bantuan seperti i-Sinar bagi menampung bayaran tunggakan pinjaman yang semakin hari semakin bertambah.

“Ada yang memerlukannya bagi membayar wang sewa rumah yang tertunggak sehingga diarah keluar dari rumah, ada juga yang memerlukan bagi melunaskan tunggakan tiga bulan ansuran kenderaan, malah ada yang merintih bantuan sekali beri RM300 tidak cukup menampung kehidupan dirinya dan keluarga ekoran diberhentikan kerja.

“Ini adalah realiti masyarakat, saya percaya banyak aduan dan rintihan sama didengar bukan sahaja di Johor Bahru atau daerah lain di Johor, malah seluruh negara rakyat sedang mengalami situasi sama, malah mungkin ada yang lebih teruk yang tidak disedari,” katanya lagi.

Terdahulu, kerajaan sudah mengumumkan Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion dan menyaksikan peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negara yang pernah diumumkan.

Secara ringkasnya, Bajet 2022 mengariskan berdasarkan tiga matlamat induk iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Ekonomi dan Ketahanan Ekonomi selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di samping beberapa pakej pemulihan ekonomi diumumkan sebelum ini. – UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.