Jangan Alpa Bekalan Masa Depan, Pemulihan Mata Pencarian Perlu Diutamakan – Norshida

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata pihaknya amat prihatin dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung simpanan pencarum di dalam agensi berkenaan.

Menurut beliau kenyataannya yang menyebut sebanyak 46% ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dan paling membimbangkan nisbah pencarum kaum Melayu mewakili 74% daripada 5.9 juta pencarum yang baki simpanan kurang RM10,000 berbanding pencarum berbangsa yang lain.

“Pandemik COVID-19 diakui sememangnya menghimpit pekerja-pekerja dengan tidak terduga, khususnya yang mencarum KWSP sehingga bukan sahaja ramai yang dipotong gaji malah ramai juga diberhentikan kerja. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia sebanyak 35.4% yang telah diberhentikan kerja bagi sektor perkhidmatan hasil dapatan Survei Khas COVID-19 dan hampir keseluruhnya sektor ini mempunyai caruman melalui KWSP.

“KWSP juga mencatatkan kejatuhan ketara dalam peratusan ahli bagi mencapai simpanan asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36% kepada 27% susulan pengeluaran dibuat bagi menampung pendapatan semasa yang tidak stabil sepanjang pandemik ini tetapi sebenarnya bekalan simpanan persaraan telah dipakai dan perlu diganti semula dengan seberapa segera.

“Kerajaan perlu mengambil langkah proaktif segera bagi membina semula simpanan persaraan khususnya golongan orang Melayu kerana tanpa bantuan simpanan KWSP ini dijana semula dengan pantas, masing-masing tidak mempunyai simpanan yang cukup bagi menyara kehidupan pada penghujung usia dan memaksa mereka bekerja seumur hidup mereka bagi menampung kos kehidupan yang dijangka meningkat,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah Norshida lagi, pihaknya bersetuju dengan pelbagai inisiatif menerusi belanjawan 2022 termasuklah langkah untuk melanjutkan kadar caruman berkanun pada 9% sehingga pertengahan 2022 dan ianya dijangka memberi kelegaan seketika kepada ahli tetapi ianya adalah bantuan jangka pendek dan masih bukan inisiatif bagi meningkatkan bekalan penyaraan hidup bagi waktu usia tua.

“Kerajaan perlu waspada dengan inisiatif jangka panjang dimana jika tidak diperhalusi dengan baik kerajaan akan terbeban dengan pembiayaan bilangan warga emas yang lebih ramai, selain kemampuan fiskal kerajaan akan terganggu susulan terpaksa membiayai warga ini yang dikhuatiri akan tergolong sebagai golongan miskin bandar, dan jelas akan bertambah menjelang 2030 kerana gagal menyimpan bekalan dana sara hidup sewaktu muda.

“Keputusan kerajaan memperluaskan had umur bagi insentif, pelepasan cukai sehingga RM4,000 untuk caruman KWSP secara sukarela khususnya kepada golongan pekerja Gig dan sektor tidak formal adalah baik tetapi perlu diperkasakan dan selarasakan penjelasan, kefahaman serta didikan kepada golongan ini. Jika tidak, ianya tidak akan membawa manfat yang besar terhadap golongan ini,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kerajaan perlu mengerakkan jentera bagi menjelaskan sedalam-dalamnya kepada rakyat tentang kepentingan simpanan bekalan masa depan.

“Kita faham bahawa pemulihan mata pencarian perlu diutamakan demi kelangsungan hidup tetapi jangan kita pula alpa dengan bekalan mereka dan anak-anak mereka di masa depan yang kita tidak tahu apa lagi cabaran yang mendatang,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.