KWSP Disaran Luluskan Had Maksimum Pengeluaran I-CITRA Dinaikkan Kepada RM10,000

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Kerajaan disaran supaya menaikkan had maksimum pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada RM10,000, kata Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata cadangan itu bukan disifatkan sebagai langkah populis tetapi berpunca daripada keperluan mendesak rakyat pasca COVID-19.

“Saya mendapati ramai yang bersuara dan mendesak. Ini sebenarnya mereka mempunyai tunggakan yang perlu dijelaskan ataupun berniat untuk mengumpul modal bagi memulakan perniagaan kecil.
Najib Tun Razak
“Saya amat berharap had maksimum i-Citra dinaikkan kepada RM10,000 sebagai skim pengeluaran khas terakhir, kerana ini amat dituntut oleh rakyat,” katanya pada perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu, Najib yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) turut mencadangkan supaya kerajaan memandang serius terhadap menggalakkan sektor mata wang kripto di Malaysia.

“Perlu sedar, jumlah yang disimpan pelabur di seluruh dunia dalam kripto sudah mencecah US$2 trilion (US$1=RM4.15). Bayangkan kita dapat menarik masuk 5 peratus daripada jumlah tersebut ke dalam pasaran kita, nilainya sudah RM420 bilion.

“Sasaran kita adalah untuk membawa aset kripto melabur di dalam Malaysia bukan untuk rakyat Malaysia membawa keluar,” katanya.

Sementara itu, Najib melahirkan kebimbangan mengenai dua langkah kerajaan untuk menaikkan cukai korporat daripada 24 peratus kepada 33 peratus bagi syarikat yang untung melebihi RM100 juta pada tahun 2022 dan langkah untuk mula mengenakan cukai ke atas pendapatan yang diperoleh dari luar negara bagi menambah pendapatan kerajaan.

Katanya walaupun ia adalah langkah sementara untuk tempoh satu tahun tetapi kenaikan itu akan menghantar mesej yang boleh menghakis keyakinan pelabur.

“Mereka akan berasa khuatir perkara seperti ini boleh berulang pada masa akan datang apabila kerajaan terdesak untuk mendapatkan hasil tambahan.

“Perlu kita sedari, semasa kita memilih pelabur asing, pelabur asing juga memilih kita dan mereka mempunyai negara lain sebagai pilihan alternatif,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.