Hentikan Gejala Lompat Parti, RUU Hibrid Jamin Kestabilan Politik Martabatkan Demokrasi – Azalina

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said menyeru semua rakyat bersama berusaha menghentikan gejala lompat parti di Malaysia.

Ujarnya, pengundi mempunyai kuasa dan hak untuk menentukan politik berhemah di Malaysia.

“Rang Undang-Undang Hibrid (RUU Hibrid) amat perlu demi kestabilan politik dan ekonomi serta memartabatkan demokrasi dan menghormati suara pengundi,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu dalam satu hantaran di Facebooknya.

Mengambil peluang pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada bulan ini, di media sosialnya itu Azalina berkongsi ‘frequently asked questions’ (FAQ – soalan kerap ditanya) mengenai RUU Hibrid iaitu Rang Undang-Undang Regulasi Lompat Parti dan Akauntabiliti Politik.

Antara FAQ adalah seperti berikut:

1. Soalan:
Apa itu RUU Hibrid yang akan dikenali sebagai Akta Regulasi Lompat Parti dan Akauntabiliti Politik?

Jawapan:
Penggabungan dua matlamat utama iaitu:
a) Memecat wakil rakyat yang lompat parti dan
b) Mekanisme pilihan raya pecat wakil rakyat, pengundi boleh memecar wakil rakyat melalui petisyen.

2. Soalan:
Kenapa kita perlu RUU Hibrid ini?

Jawapan:
a) Peningkatan jumlah wakil rakyat yang lompat parti.
b) Ketidakstabilan politik ini menjejaskan pembangunan ekonomi.
c) Meyakinkan pengundi untuk keluar mengundi.
d) Meyakinkan pengundi terhadap proses demokrasi.

3. Soalan:
Bolehkah mekanisme pemecatan ini digunakan di Melaka untuk menghalang wakil parti lompat selepas pilihan raya kecil ini?

Jawapan:
Ya.
a) Pengundi Melaka perlu menyokong parti yang komited untuk membentangkan RUU ini.
b) RUU ini memerlukan pindaan pada Perlembagaan Negeri dan ini hanya boleh berlaku jika parti-parti yang menyokong RUU ini menang dua pertiga kerusi.
c) Parti-parti ini boleh berjanji melalui sebuah manifesto untuk menggubal RUU Hibrid ini dan tidak menerima ‘katak’.
d) Pada masa yang sama, calon-calon boleh membuat ‘Perjanjian Ahli Lompat Parti’ untuk berjanji bahawa mereka tidak akan lompat parti selepas pilihan raya.

4. Soalan:
Jika saya sokong wakil rakyat saya untuk lompat parti, adalah Rang Undang-undang memudaratkan kepada wakil rakyat saya?

Jawapan:
Tidak.
a) Jika kebanyakan pengundi dalam kawasan pilihan raya anda sependapat dengan anda dan menyokong keputusan wakil rakyat anda untuk lompat parti, mana-mana percubaan untuk memecat wakil rakyat anda melalui petisyen tidak akan berjaya.
b) Katakan wakil rakyat anda dipecat, beliau masih boleh bertanding dalam pilihan raya kecil berikut untuk cuba menang semula mandat rakyat.

Begitu juga ditunjukkan mengenai akta tersebut akan dilaksanakan.

Wakil rakyat lompat parti > Pengundi bercadang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memulakan proses memecat wakil rakyat > SPR terima cadangan > SPR menjalankan proses petisyen untuk memecat wakil rakyat > Petisyen berjaya > Jawatan wakil rakyat segera dikosongkan > Pilihan raya kecil diadakan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.