Kerajaan Ihsan Dan Bertanggungjawab… Bajet 2022 Bersifat Inklusif – Mohamad

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan secara keseluruhan Bajet 2022 yang dibentangkan semalam adalah belanjawan bersifat inklusif dan berkebajikan.

Katanya pelbagai bantuan tunai diperuntukkan kepada golongan sasar melalui Bantuan Keluarga Malaysia malah beliau juga berharap agar kesemua bantuan ini dapat meringankan beban golongan paling terkesan.

“Pelbagai bantuan spesifik juga ditawarkan untuk memastikan tiada golongan yang tercicir termasuk anak yatim akibat COVID-19, mangsa keganasan rumah tangga, atlet orang kurang upaya (OKU), masyarakat orang Asli serta rakyat yang menghadapi isu kesihatan mental. Nyata, kerajaan memandang semua mereka ini dengan ihsan dan tanggungjawab.

“Secara keseluruhannya Bajet 2022 adalah bajet mengembang, untuk terus memacu pemulihan daripada dwi-krisis mencakupi aspek kesihatan dan ekonomi.

“Oleh kerana bajet ini akan menyaksikan kerajaan berbelanja dengan banyak, maka strategi konsolidasi fiskal jangka panjang mesti segera difikirkan. Usaha memperluaskan asas cukai seperti memperkenalkan penggunaan nombor pengenalan cukai (atau TIN) amatlah bertepatan. Pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai pendapatan dan perniagaan yang tidak atau gagal diisytiharkan, wajar diperkenalkan bagi membantu kedudukan fiskal negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau lagi, usaha mempelbagaikan sumber hasil negara juga amat penting kerana Malaysia tidak boleh lagi bergantung dengan hasil berasaskan petroleum.

“Ia diunjurkan akan menyumbang hanya 18.8 peratus daripada jumlah hasil tahun 2022. Ketidaktentuan harga minyak global akan menjejaskan hasil pendapatan negara lalu membahayakan kemampanan fiskal keseluruhan,” ujar beliau.

Tambah Mohamad lagi Bajet 2022 ini perlu selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk memacu pertumbuhan pantas ekonomi negara.

“Bajet 2022 wajar memperincikan pelaksanaan segera pelbagai projek RMK12 sebagai impetus ekonomi yang boleh merancakkan kebangkitan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

“Seperkara yang sangat membimbangkan ialah kekurangan fokus dalam Bajet 2022 untuk mengembalikan simpanan masa persaraan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“46 peratus ahli yang berusia di bawah 55 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka. Apa akan terjadi kepada golongan paling terkesan ini semasa persaraan nanti? Kesejahteraan semasa persaraan adalah isu nasional yang jika tidak ditangani, akan membebankan Kerajaan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu Mohamad berharap kerajaan dapat memastikan bajet yang diumumkan ini diagihkan dengan berkesan, telus dan segera.

“Pengagihan yang kemas dan segera akan merancak ekonomi negara dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.

“Hanya dengan cara sedemikian kita mampu membina semula daya ketahanan rakyat dan negara bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.