Inti Pati Bajet 2022
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Berikut adalah inti pati ekonomi bagi Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Parlimen hari ini.
- Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM332.1 bilion untuk Bajet 2022, nilai tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini.
- Hasil kerajaan dijangka meningkat kepada RM234 bilion pada 2022.
- Sebanyak RM233.5 bilion diperuntukkan bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion bagi Kumpulan Wang COVID-19.
- RM2 bilion disediakan sebagai simpanan luar jangka.
- Defisit fiskal 2022 diunjurkan \ berkurang kepada 6.0 peratus daripada KDNK berbanding 6.5 peratus pada 2021.
- Kerajaan meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta yang memberi manfaat 3,000 pegawai kontrak perubtaan dan pergigian.
- RM70 juta diperuntukkan untuk pastikan isu kesihatan mental diberi keutamaan.
- RM52.6 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, manakala RM14.5 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.
- Kerajaan setuju sediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150, dijangka manfaatkan 3 juta murid-murid yang layak.
- RM1 bilion disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah, termasuk RM140 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
- RM120 juta disediakan untuk manfaat 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
- RM746 juta diperuntukkan untuk naik taraf sekolah-sekolah daif, sebilangan besar di Sabah (112 projek) dan Sarawak (165 projek).
- RM50 juta diperuntuk untuk memperkasa agenda pendidikan khas termasuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas.
- Kerajaan teruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan dengan peruntukkan RM400 juta.
- Lebih 400,000 guru sekolah bawah Kementerian Pendidikan dapat manfaat Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar sekali bayar sebanyak RM100.
- Setiap pelajar B40 di IPT dibekalkan sebuah tablet menerusi inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia, libatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM450 juta.
- Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2022.
- Diskaun bayaran balik PTPTN antara 10 hingga 15 peratus bermula 1 Nov 2021 hingga 30 Apil 2022.
- RM6.6 bilion diperuntuk untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.
- RM4.8 bilion diperuntuk bagi melaksanakan inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), jamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan.
- Kerajaan beri insentif 20 hingga 30 peratus daripada gaji bulanan kepada majikan yang ambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif berkerja.
- Kerajaan beri insentif 30 hingga 40 peratus daripada gaji bulanan RM1,200 ke atas kepada majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU, Orang Asli dan banduan.
- 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan swasta ditawarkan menerusi inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP).
- RM1.1 bilion diperuntuk untuk pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan sasaran 220,000 pelatih.
- Pelepasan cukai bagi perbelanjaan hadir kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 sehingga 2023.
- Potongan cukai dua kali kepada syarikat beri biasiswa kepada pelajar IPT dalam semua bidang pengajian.
- Program Baucar Perlindungan Tenang untuk B40 dinaikkan kepada RM75, boleh diguna untuk beli polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah mulai 1 Jan 2022.
- Skim MySalam diperluas kepada semua penerima BKM, manfaat tuntutan kos peranti perubatan dipanjangkan kepada anak tanggungan penerima.
- Inisiatif i-Saraan diperluas kepada individu berumur 55 sehingga 60 tahun, libatkan peruntukkan RM30 juta.
- RM80 juta diperuntuk di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia.
- Inisiatif perlindungan sosial negara di bawah Perkeso diteruskan dengan nilai caruman 80 peratus, manfaat diperluas kepada sembilan kategori termasuk artis.
- Kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan Perkeso dinaikkan kepada RM550 akan bantu 56,000 isi rumah.
- Pelepasan cukai sehingga RM4,000 kepada pencarum KWSP meliputi caruman secara sukarela.
- Had pelepasan cukai dinaikkan kepada RM350 untuk galak pekerja swasta mencarum dengan Perkeso.
- RM11.4 bilion diperuntuk bagi memperkasa Bumiputera.
- RM1.5 bilion diperuntuk bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.
- Pemberian khas sekali bayar RM500 kepada 70,000 imam, bilal, siak, noja, marbut, guru takmir dan guru Kafa.
- RM200 juta diperuntuk untuk kaum Cina, RM145 bagi kaum India dan RM274 juta kepada komuniti Orang Asli.
- RM10 juta disediakan untuk galakkan anak-anak Sabah dan Sarawak dalami ilmu berkaitan budaya dan warisan.
- Kadar wang saku pelajar Sekolah Menengah dalam kalangan Orang Asli dinaikkan kepada RM4 sehari.
- Geran RM6,000 untuk setiap Kawasan Rukun Tetangga libatkan peruntukan RM50 juta, manakala RM 50 juta untuk kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat di kawasan PBT.
- Semua syarikat senaraian awam wajib lantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita.
- RM30 juta diperuntuk untuk sediakan taska di bangunan kerajaan, pinda garis panduan benarkan taska beroperasi di aras melebihi tingkat satu pejabat.
- Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran yusan taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023.
- RM13 juta diperuntuk bagi memperkasa Bahagian D11 PDRM, 100 perjawatan baharu akan diwujudkan. – BERNAMA