Ungkai Darurat: Pesalah Terus Laksana Perintah Kehadiran Wajib Sehingga Tarikh Ditetapkan – KDN

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Pesalah yang dikenakan perintah kehadiran wajib ketika penguatkuasaan Ordinan Darurat akan terus melaksanakan perintah itu sehingga tarikh ditetapkan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata ia selaras Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Ismail Mohamed Said
“Merujuk isu yang diutarakan oleh YB Pasir Gudang (Hassan Abdul Karim) apakah status terhadap pesalah menerima hukuman penjara selepas Ordinan Darurat dibatalkan? Adakah mereka boleh dibebaskan?

“Pesalah-pesalah yang dijatuhkan perintah kehadiran wajib ketika ordinan darurat akan terus melaksanakan perintah itu sehingga tarikh ditetapkan selaras perkara 150 Perlembangaan Persekutuan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul mengungkai Ordinan-ordinan Darurat bagi kementerian berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021, memperkenalkan pindaan kepada Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 bagi pesalah yang menghadapi hukuman penjara tiga tahun.

Ia menyatakan mahkamah boleh, selain hukuman atau komital berkenaan, membuat perintah kehadiran wajib yang menghendaki seseorang hadir setiap hari di pusat yang mereka harus melakukan kerja wajib selama tempoh tidak lebih 12 bulan dan tidak lebih empat jam setiap hari.

Sebelum dipinda, hanya mereka yang menghadapi hukuman penjara hingga tiga bulan, memenuhi syarat untuk dikenakan perintah itu.

Sementara itu, Ismail berkata selain langkah meminda peruntukan itu, sebanyak 10 penjara satelit diwujudkan dengan pengambilalihan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi mengelakkan kesesakan dalam penjara dalam usaha mengekang wabak pandemik COVID-19. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.