Rakyat Perlu Diyakinkan Setiap Mereka Ada Tempat Dalam Keluarga Malaysia – Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Rakyat perlu diberi keyakinan bahawa setiap mereka mempunyai tempat dalam keluarga besar Keluarga Malaysia, titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah.

Justeru baginda bertitah semangat Keluarga Malaysa itu perlu disemarakkan menerusi amalan budaya terbuka, sedia menerima perbezaan pendapat dan kelainan pandangan, selain menghargai perbezaan pendekatan dan perbezaan kaedah.

“Suara yang berbeza sewajarnya diberi ruang untuk boleh diluahkan kerana rintihan hati yang dikurung berpotensi menyalakan bara marah dan mengalirkan lava dendam yang lebih volkano sifatnya,” titah baginda pada Istiadat Mengucap Selamat Berangkat di Dewan Bendahara, Istana Negara hari ini.

Antara yang hadir pada istiadat itu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Zuki Mohd Ali, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Menggunakan analogi orkestra yang besar, Sultan Nazrin bertitah setiap instrumen memiliki bunyi tersendiri, dengan gaya mengeluarkan bunyi yang berlainan, sama ada secara tiupan, gesekan, petikan, tekanan atau pukulan, malah tidak ada instrumen dianggap tidak penting.

“Pemimpin orkestra yang hebat menghargai setiap bunyi daripada setiap instrumen, lebih banyak instrumen, lebih banyak bunyinya, lebih hebat pula melodinya jika berjaya diharmonikan. Pemimpin yang bijaksana boleh mengambil pengajaran daripada kejayaan seorang pemimpin orkestra,” titah baginda.

Baginda bertitah konsep keluarga bukanlah asing kerana telah sedia berakar dan subur meranting dalam budaya bangsa, serta menyifatkan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri ialah sebuah keluarga besar.

Sehubungan itu baginda bertitah menjadi ketua kepada sebuah keluarga besar memerlukan kesabaran, keupayaan, tumpuan dan kegigihan untuk melaksanakan tanggungjawab seadil-adilnya.

“Semakin besar saiz keluarga, semakin kompleks cabaran yang dihadapi, kerana bilangan ahli keluarga yang ramai semestinya dikembari dengan suara yang semakin banyak, selera yang semakin rencam dan keperluan yang pelbagai,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan barisan Jemaah Menteri atas segala kerjasama sepanjang tempoh baginda menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong.

Penghargaan turut dizahirkan Sultan Nazrin kepada Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawai kerajaan yang membantu baginda membekalkan maklumat serta menyembah nasihat sebelum baginda membuat sesuatu keputusan.

“Begitu juga kepada para pegawai dan petugas Istana Negara yang telah memudahkan Beta menyempurnakan tugas dalam tempoh masa Beta diamanahkan tanggungjawab Kepala Utama Negara.

“Semoga hubungan harmoni terus terjalin antara Istana Negara dan Putrajaya dalam semangat saling memahami – saling menghormati,” titah baginda.

Sultan Nazrin menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom

Baginda yang melaksanakan tugas Yang di-Pertuan Agong bermula pada 18 Sept lepas akan menamatkan tugas baginda itu pada 12 tengah malam nanti. – BERNAMA