IdeaXchange Berjaya Kumpul Pandangan Pakar, Gubal Strategi STIE Negara

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Program IdeaXchange berjaya mengumpulkan pandangan pakar dan pihak berkepentingan dalam memperkukuhkan dasar, tadbir urus dan ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI), serta menggubal strategi sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata platform itu juga telah menghasilkan bidang fokus STIE antaranya Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE 10-10), Dasar Sains, Teknologi Dan Inovasi Negara (DSTIN) serta Dasar Bioteknologi Negara.

“Kebanyakan pandangan daripada IdeaXchange akan dimasukkan ke dalam kertas dasar serta diperkukuhkan dengan data serta analisis agar input berkaitan dapat disampaikan menerusi kajian oleh pihak Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai badan pemikir untuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta kementerian-kementerian lain berpaksikan bukti dan fakta.

Pada ketika ini dalam usaha MOSTI mengarusperdanakan STIE dalam setiap inisiatif serta program di peringkat nasional, ASM memberi input STI kepada lebih daripada 14 kementerian dan kerajaan negeri serta agensi. Melalui IdeaXchange juga, lebih 800 pakar ASM menyumbangkan idea berasaskan topik STIE semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran IdeaXchange ke-35 bertajuk Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12: STI Membina Negara Yang Berdaya Tahan, yang berlangsung secara maya hari ini.

Menurut Dr Adham, semua cadangan serta pandangan daripada kajian yang dijalankan ASM sejak 2015 dipantau dengan kini hampir 80 peratus cadangan yang diutarakan mereka telah diterima dan diluluskan oleh pihak kerajaan.

Program IdeaXchange adalah satu platform bagi komuniti saintifik serta ahli-ahli jaringan pakar ASM untuk bertukar idea dan membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan sains, teknologi dan inovasi.

Dalam pada itu Dr Adham berharap lebih ramai penyelidik dapat menghasilkan kajian yang lebih fokus dan berimpak tinggi bagi mencapai misi negara yang berteknologi tinggi dan berdaya tahan.

Beliau berkata bagi mencapai misi itu, setiap penyelidik negara perlu mempunyai ciri penyelidik bertaraf dunia yang mampu membawa perubahan, cemerlang dalam mencipta peluang dan berjaya menjalankan kajian dan projek yang mampu membawa perubahan dan berimpak.

Katanya laporan “Science Outlook 2020” daripada ASM menunjukkan peratus tertinggi penyelidik di negara ini adalah di institusi pengajian tinggi dengan 79.92 peratus diikuti sektor industri (15.85 peratus) dan di institusi penyelidikan kerajaan (4.14 peratus). – BERNAMA