Sultan Nazrin Titah Ulama Dan Umara Berjihad Hapuskan Rasuah

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah bertitah supaya para ulama dan umara wajib berganding usaha, tenaga dan berjihad menghapuskan rasuah.

Baginda bertitah rasuah adalah barah amat bahaya yang terbukti menjadi punca penderitaan warga dan kemiskinan rakyat, kejatuhan kerajaan dan pemerintahan, keruntuhan negara dan empayar serta punca keruntuhan tamadun dan budaya.

Justeru, para ulama dan umara tidak boleh memejamkan mata, memekakkan telinga dan membisu lidah terhadap perbuatan rasuah, titah Sultan Nazrin.

“Kebelakangan ini, dilaporkan begitu banyak berlakunya rasuah. Berdasarkan berita-berita yang dilaporkan, perlakuan rasuah kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa malah berlaku pada skala yang besar.

Lebih membimbangkan apabila turut dilaporkan rasuah dilakukan secara lebih berani, lebih terbuka,” titah Sultan Nazrin dalam perutusan Maulidur Rasul yang disiarkan di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.

Baginda bertitah ketika ummah berasa gundah gelisah, pemimpin berperanan besar untuk mewujudkan dunia yang aman dan kehidupan sejahtera.

Sultan Nazrin bertitah ummah merindui kepimpinan adil lagi saksama, kepimpinan yang berani menegakkan kebenaran dan tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum, merindui kepimpinan yang tidak melakukan kezaliman, tidak menindas, tidak menipu dan tidak bersifat munafik.

“Ummah semakin menyuarakan kerinduan untuk dianugerahkan kepimpinan yang tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, tidak mengamalkan nepotisme dan tidak bersifat pecah amanah.
Ummah amat merindui berada di bawah naungan pemimpin yang mengamalkan sifat-sifat kepimpinan Rasulullah Sallallahualaihiwassalam (SAW), sifat-sifat kepimpinan yang wajib dijadikan contoh ikutan,” titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Nazrin bertitah kesejahteraan sesuatu bangsa dan kemakmuran sesebuah negara amat dipengaruhi oleh sifat dan akal bicara pemimpin.

Titah baginda, jika pemimpin sentiasa insaf akan tanggungjawab kepada ummah dan negara serta lebih insaf akan tanggungjawab yang besar terhadap Allah, maka akan sejahtera hidup ummah dan makmur negara dengan khazanah negara akan diurus secara telus, sumber diagihkan dengan saksama dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan.

“Pemimpin tidak akan mengizinkan berlakunya himpunan kekayaan yang diperoleh secara tidak jujur dan tidak telus apatah lagi melalui kaedah yang meminggirkan peraturan dan mempersendakan undang-undang,” titah baginda.

Sempena sambutan Maulidur Rasul, Sultan Nazrin bertitah agar hikmah dan kebijaksanaan kepimpinan Rasulullah SAW wajib dijadikan panduan dan pedoman terutama dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan.

“Nabi Muhammad SAW ialah contoh, tokoh ketampanan lahiriah yang mencerminkan keindahan batiniah. Melalui hikmah dan kebijaksanaan kepimpinan, Baginda berjaya membina tamadun yang agung, tamadun yang telah mengangkat ummah mencapai persada kegemilangan,’’ titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah banyak peristiwa yang boleh dijadikan contoh akan sifat integriti tinggi Rasulullah SAW, terutama pendirian tidak memberi keistimewaan kepada anggota keluarga atau kenalan terdekat, serta tidak terpengaruh dengan sogokan dan imbuhan serta tidak bertolak ansur dengan rasuah.

“Rasulullah SAW tidak menyalahgunakan status seorang Rasul untuk merebut kuasa dan membina kekayaan diri dan kekayaan keluarga. Baginda tegas, tidak sama sekali menggadaikan prinsip, cekal setia menjunjung amanah dan perintah Ilahi, titah Sultan Nazrin. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.