Ada Pihak Niat Jahat Sengaja Burukkan PM Kerana UMNO – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas pihak yang secara terang-terangan berniat jahat untuk memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

Beliau yang menerima grafik berkaitan PM menganggap bahawa tuduhan 100 hari PM dengan kad laporan KPI yang mengaitkan kepada kes SUA UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga mantan PM Datuk Seri Najib serta isterinya adalah satu perkara yang amat dangkal dan berbaur jahat.

“Ini adalah satu perkara yang tidak sewajarnya berlaku apatah lagi menggunakan media sosial dengan menyebarkan fitnah yang tidak benar kerana UMNO,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Tegasnya yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, perlu diingat bahawa semua kes yang dikaitkan dengan mereka ini adalah kes-kes membabitkan perundangan yang bukan boleh dikompromi dengan campur tangan mana-mana pihak apatah lagi politik.

“Kita ada keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara. Hal ini adalah pegangan setiap warganegara tanpa mengira kepada agama dan bangsa waima fahaman politik.

“Semua pihak janganlah terpengaruh dengan fitnah dan penularan grafik jahat sedemikian sebaliknya ikutilah laporan yang benar dan lakukanlah penilaian tanpa mengambil jalan singkat atau tanpa memahami perkara yang tepat.”

Jelas Tengku Adnan, kes Datuk Seri Ahmad Maslan pada 2019 adalah disebabkan kompaun yang terlalu tinggi, iaitu sebanyak 50 kali ganda oleh SPRM yang mana ia sangat tidak adil maka beliau sanggup melawan keputusan tersebut di mahkamah, namun apabila jumlah kompaun berbalik kepada asal barulah ia dipersetujui.

“Hal berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula beliau dibenarkan ke Jerman adalah bagi mendapatkan rawatan manakala Datin Seri Rosmah memohon pelepasan passport adalah untuk menemani anaknya yang tinggal di Singapura untuk bersalin tidak lama lagi. Begitu juga dengan Datuk Seri Najib.

“Ini semua adalah keputusan-keputusan yang dibuat atas pertimbangan pihak mahkamah, bukan oleh mana-mana ahli politik pun. Ternyata semua pemimpin terbabit patuh dan akur dengan perundangan.

Namun sebenarnya, kata Tengku Adnan yang tidak dirungkai adalah persoalan berkenaan:
1. Adakah alasan pendakwaan yang dikenakan kepada barisan pemimpin UMNO (yang tak melompat) adalah wajar sedangkan mana-mana yang telah di dakwa tetapi kemudian melompat … maka pendakwaan ke atas nama mereka digugurkan?

2. Bukankan pendakwaan yang dilakukan ke atas barisan pemimpin UMNO ini adalah berbaur politik iaitu hanya memilih pemimpin-pemimpin dalam UMNO sahaja tanpa ada pendakwaan kepada pemimpin parti lain?

3. Adakah ini juga bermakna bahawa ada agenda mereka untuk membunuh karektor kepimpinan UMNO yang telah terbukti berkebolehan menerajui negara?

4. Bukankah dengan mengheret kepimpinan tertinggi UMNO ke mahkamah adalah agenda bagi merosakkan reputasi UMNO sebagai satu-satunya parti yang telah membawa pembangunan dan kemajuan kepada negara – cubaan untuk menghapuskan atau menguburkan nama baik UMNO yang mencorakkan negara.

Tegas Tengku Adnan, maka kerana itu, semua pihak mestilah lakukan penilaian dan apa-apa yang nak dilakukan perlulah dibuat selepas berfikir semasak-masaknya.

“Sama juga dengan untuk memberikan undi, pilihlah yang terbaik dan bukan hanya kerana satu-satu perkara yang belum tentu hujung pangkal maka dengan mudah terus menukar kerajaan.

“Lihat sekarang ini apa sudahnya… Ternyata banyak tohmahan PH kepada BN sebelum PRU14 dulu adalah fitnah dan hanya cerita yang direka-reka. Hasilnya sekarang, apabila BN yang dah lebih 60 tahun mentadbir negara dengan jayanya ditumbangkan maka huru-hara sudahnya.

“Saya bukan nak menidakkan bahawa BN/UMNO juga ada kesilapan kerana diakui barangkali ini qada’ dari Allah untuk menyedarkan pemimpin-pemimpinnya dan juga rakyat bahawa perlu ada kesedaran dan berubah demi kebaikan agama, bangsa dan negara.”

Katanya, yang lebih menyedihkan apabila ada pemimpin UMNO yang dahulunya telah dipinggir namun kini menjawat menteri kabinet dalam kerajaan baharu telah mengambil pendirian kononnya kalau UMNO tidak bergabung dengan parti lain maka UMNO akan hancur.

“Betapa tergamaknya mereka ini sedangkan sedarkah mereka bahawa kedudukan dan adanya mereka dalam politik adalah kerana keberadaan UMNO sendiri.

“Saya minta janganlah kata-kata sedemikian diluahkan lagi waima dari mana-mana pemimpin UMNO kerana ianya amat mengguris hati anggota parti akar umbi yang penuh ikhlas berjuang.

“Apatah lagi apabila UMNO diminta untuk bekerjasama dengan pihak yang telah mengkhianati perjuangan termasuk mereka yang lebih mengutamakan agenda peribadi dan kroni keluarga sendiri. Adakah parti-parti yang sudah terang lagi bersuluh mementingkan keluarga sendiri mahu digerakkan dalam kerjasama dengan UMNO.”

Dalam hal ini Tengku Adnan mengambil analogi bagaimana Dap yang hanya terdiri daripada anak-beranak Lim Kit Siang dan juga Karpal Singh, begitu juga dengan PKR yang dilingkungi oleh keluarga Anwar Ibrahim, manakala Parti Pejuang adalah anak beranak Mahathir dan beberapa baris nama lain lagi.

“Sekarang, kira sendirilah berapa kali kerajaan bertukar ganti, dari PH yang penuh haloba kepada PN yang caca marba, tiga kali juga kita bertukar-tukar PM hinggakan satu negara rakyat menderita.

“Saya sendiri sudah merasainya, diheret ke mahkamah turun naik bertahun-tahun hanya kerana pendakwaan yang langsung tidak masuk akal bagi saya, malah bagi mereka yang mengenali saya pun, namun Alhamdulillah, saya yakin Allah Maha Adil.

“Saya melalui satu ranjau yang bukan mudah, dihimpit dengan pelbagai tohmah, laporan berita yang berat sebelah, dinafikan kebebasan dan ditekan dari pelbagai perkara hanya kerana saya enggan akur kepada kehendak mereka untuk saya meninggalkan perjuangan bersama UMNO,” katanya lagi yang terus bertekad untuk kekal teguh ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dalam parti. – UMNO Online