Pentas Politik Bukan Untuk Balas Dendam… Tiga Kriteria Calon Tentukan Watikah Ditandatangani – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa beliau tidak akan menggunakan pentas politik untuk membalas dendam bagi menandatangani watikah dalam pilihan raya asalkan calon menepati tiga kriteria.

Katanya, tiga perkara untuk menentukan calon yang akan mewakili parti ialah ‘winnable, acceptable, likeable’ dari pengundi sendiri.

“Saya tidak akan gunakan peluang sebagai pentas membalas dendam … asalkan calon tiga kriteria ini dipenuhi maka watikah calon akan ditandatangani.

Saya sendiri akan duduk bersama Timbalan Presiden UMNO selaku pengarah pilihan raya dan juga akan duduk bersama Perdana Menteri bagi membincangkan hal-hal berkaitan.

“Saya fikir kita harus hadapi realiti politik bahawa jika kita mahu membentuk kerajaan maka kita harus menghadapi situasi ketika ini iaitu pembentukan kerajaan selepas masing-masing ada jumlah Ahli Parlimen, mandat rakyat. Lakukanlah apa yang dikatakan sebagai ‘syura’ selepas PRU agar tak ada lompatan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, ahli-ahli UMNO di semua peringkat perlu bersama-sama kepimpinan Perdana Menteri untuk menterjemahkan bahawa rakyat sangat rindu kepada UMNO/BN bagi menjadi tulang belakang kerajaan Persekutuan Malaysia.

“Saya melihat kesejajaran antara parti dan kerajaan harus berjalan walaupun UMNO hanya ada 38 kerusi Ahli Parlimen daripada kerajaan sekarang namun PM daripada UMNO, namun kita tidak memaksakan semua yang dipersetujui dari UMNO harus dilaksanakan.

“Akan tetapi seboleh yang mungkin parti harus memperkuatkan kedudukan dan prestasi PM kerana mahu tidak mahu PM yang mewakili parti ada dokongan dari UMNO sendiri,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian pada program Jawab, Saya Tanya! PRU15: Membentuk Atau Membina Arus? menerusi siaran langsung di Facebook NR ChannelTV, malam tadi.

Dalam hal berkaitan akta lompat parti, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menganggap bahawa akta tersebut cukup sesuai diaplikasi.

“Apa pun namanya asalkan jangan ada yang melompat dan jangan pernah khianati kepercayaan yang telah diberikan oleh para pengundi.

“Hadapilah realiti politik kerana kalau jadi pembangkang pun, saya tak fikir akan pernah hilang ‘telinga’ atau ‘mata’ atau akan ‘buta’ kalau jadi kerajaan kerana lompatan dilakukan oleh ‘katak’ itu.

“Dalam hal ini istiqamahlah dan kalau kita betul-betul kuat maka dapatkanlah mandat kembali.”

Jelasnya, fikirlah realiti politik yang harus dihadapi dan mana-mana pihak kekallah pada parti yang telah dipilih masing-masing atas keyakinan yang ada.

“Sama-sama kita berada dalam medan perang iaitu pilihan raya kerana jika pegangan mereka betul maka mereka akan menang dan jika UMNO betul… insyaAllah UMNO akan menang dan kita perbaiki kesilapan kita… saya yakin kita akan menang.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.