Tuntutan Pelaksanaan Dan Pemerkasaan Undi 18 Perlu Penilaian Menyeluruh – Norshida

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Pelbagai persepsi bagi perlaksanaan dan pemerkasaan “Undi 18” diperkatakan namun sudah sampai masanya dasar had kelayakan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, sekali gus meletakkan Malaysia pada tahap sama dengan amalan semua negara demokrasi maju dan negara lain.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata penurunan umur layak mengundi akan mewujudkan lebih banyak kebebasan, tetapi mungkin menyebabkan kadar jumlah keluar mengundi lebih rendah semasa berlangsungnya pilihanraya dan hal ini semestinya akan mendedahkan lebih ramai golongan muda terlibat dalam politik.

Menurut beliau pemerkasaan dalam “undi 18” ini akan memberikan ruang penglibatan lebih ramai orang khususnya golongan muda sekaligus melahirkan sudut pandangan yang lebih segar mengenai senario politik dalam negara.

““Undi 18” juga akan memberikan pengetahuan yang lebih jelas kepada golongan muda dari segi struktur amalan demokrasi dasar negara seperti kelayakan mengundi, hak dan sistem pendaftaran, kaedah pengundian, sumbangan dana politik, pembiayaan kempen dan penyuburan demokrasi.

“Keburukan perlaksanaan ini mampu memberikan ‘harapan palsu’ kepada golongan muda untuk mengundi dan mereka berkemungkinan mendapat maklumat salah mengenai situasi sosial, politik dan ekonomi negara. Mereka juga akan mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dan jika mereka salah membuat keputusan, ia boleh memberi kesan buruk kepada negara dalam memilih pimpiman negara,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi perlaksanaan ini juga mampu mengurangkan minat golongan muda untuk memberikan komitmen kearah pembangunan diri dan tidak fokus kearah akademik.

Tambahnya kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman, Jepun,India, Itali dan Argentina telah melaksanakan umur layak mengundi ialah 18 tahun.

“Amerika syarikat melaksanakan sewaktu pemerintahan Richard Nixon pada tahun 1971 dengan membuat pindaan ke-26 ke atas Perlembagaan AS untuk merendahkan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

“Bagi negara kita juga ianya memerlukan pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memperkenalkan rang undang-undang baru bagi menurunkan umur yang layak mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun dalam bahagian pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

“Buat masa ini, kita dimaklumkan rata-rata rakyat Malaysia bersetuju dan masih mempunyai kerisauan terhadap impak kepada diri anak-anak muda dan negara bagi jangka masa panjang. Dalam masa ini juga SPR telah memaklumkan sebanyak 32 parti politik yang berdaftar daripada 51 parti politik berdaftar telah bersetuju mengenai pemindaan umur ini untuk memberikan ruang kepada golongan muda,” ujarnya.- UMNO Online.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.