Akhirnya Akan Dibuat… Naikkan Had Hutang Untuk Bantu Rakyat – Najib

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata selepas bertanya kenapa kerajaan belum lagi memenuhi tuntutan rakyat untuk naikkan bantuan pada zaman pandemik ini, beliau diberitahu bahawa kerajaan memang tidak mempunyai banyak wang lagi selepas kerajaan lama di bawah Perdana Menteri Kelapan (PM8) berbelanja RM600 bilion tanpa kesan yang nyata dalam tempoh setahun setengah tahun lalu.

Oleh itu katanya merujuk kepada Jawatankuasa Dasar Fiskal kerajaan baru sahaja bermesyuarat minggu lepas buat kali kedua tahun ini dan telah memutuskan akan usulkan kenaikan had hutang kerajaan ke 65% dalam Parlimen bagi memberi lebih ruang fiskal untuk pakej bantuan rakyat (pautan).

“Sejak awal tahun ini saya telah beberapa kali saran untuk naikkan had hutang ini bagi membantu rakyat setelah melihat prestasi fiskal kerajaan PN (Perikatan Nasional) dahulu lemah.

“Akhirnya akan dibuat tak lama lagi,” kata Perdana Menteri Keenam itu dalam satu catatan di Facebook.

Ujar Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), nisbah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah kerajaan BN telah berjaya diturunkan ke 48.7% setelah defisit kerajaan diturunkan bagi lapan tahun berturut semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

“Lalu hutang dinaikkan oleh kerajaan PH (Pakatan Harapan) ke sekitar 54% (iaitu sedikit ke bawah had 55%) masa kerajaan PH tumbang setelah mereka banyak berbelanja.

“Seterusnya, kerajaan PN naikkan had hutang negara dalam Parlimen ke 60% pada bulan Ogos lalu. (akibatnya, hutang negara telah naik dari RM600 bilion sebelum PRU-14 ke lebih RM1 trilion sekarang). Dan had hutang ini akan dinaikkan sekali lagi ke 65%,” katanya lagi.

Begitu juga katanya PH banyak memfitnah beliau membankrapkan negara sebelum PRU-14.

“Yang paling pelik ialah ramai boleh pulak tertipu dengan propaganda mereka walaupun realitinya kekayaan negara berjaya dinaikkan dari RM800 bilion pada tahun 2008 sebelum saya jadi PM ke RM2 trilion sebelum PRU-14.

“Jika tak percaya, tanya Atok dari mana datangnya RM2 trilion yang dia pernah sebut itu semasa dia PM interim (pautan).

Ulasnya lagi, dahulu juga mereka memfitnahnya membankrapkan negara tapi keseluruhan dana melebihi RM6 bilion untuk membiayai program vaksin COVID-19 pun diambil dari tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang dibina dari RM4 bilion ke RM17 bilion semasa menjadi Perdana Menteri (pautan). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.