Kemelut Politik Melaka Boleh Beri Persepsi Buruk, Pemimpin Jangan ‘Kamikaze’ Demi Jawatan – Dr Mohd Sadad

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Pemerhati politik tempatan, Dr Mohd Sadad Mahmud menganggap kemelut politik Negeri Melaka yang mula tercetus semalam akan mewujudkan situasai agak membimbangkan kerana ia boleh memberikan persepsi buruk bukan sahaja kepada UMNO negeri.

Tegasnya, sewajarnya mana-mana pemimpin UMNO tidak menjadikan diri mereka ‘kamikaze’ demi mengejar jawatan ketika rakyat sedang susah ekoran pandemik yang berpanjangan.

“Situasi kini bukanlah waktu sesuai untuk para pemimpin melakukan tindakan ‘berani mati’ termasuk menarik sokongan terhadap pemimpin negeri dari parti sendiri

“Ia sudah tentu tidak disenangi oleh rakyat dan boleh membawa kesan tidak baik kepada parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan mengulas berkaitan isu terbabit.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin mengulas kemelut politik yang berlaku di Melaka apabila empat ADUN pro-kerajaan menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan kerajaan negeri itu.

Dalam hal ini beliau menganggap sepatutnya para pemimpin bersabar dan tunggu sehingga pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Apa yang berlaku di Melaka jelas boleh memberikan persepsi buruk bukan sahaja terhadap kepimpinan UMNO negeri, malah kepada parti itu keseluruhan.

“ADUN terbabit tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana beliau jelas melanggar nasihat Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar semua pihak bekerjasama demi kepentingan rakyat dan negara.

“Apatah lagi, kerajaan Pusat di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan PH telah menandatangani perjanjian persefahaman baru-baru ini.”

Sepatutnya ujar Dr Mohd Sadad, jika ada yang tidak berkenan di hati berhubung kepimpinan Ketua Menteri maka cukuplah jika hanya meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri dan menjadi wakil rakyat biasa.

“Dengan cara ini beliau sudah tentu lebih dihormati kerana semua orang tahu agak sukar bagi seorang bekas ketua menteri bekerja di bawah ketua menteri lain yang dahulunya menjadi bawahan beliau.

“Kini UMNO sudah kembali memimpin negara, jadi seharusnya para pemimpin parti perlulah menjaga tingkah, elakkan perpecahan di peringkat pemimpin dan utamakan rakyat,” katanya.

Empat ADUN terbabit ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN – Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN – Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu – Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu).

Kerajaan negeri pimpinan BN sebelum ini diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 (BN-UMNO), dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh (DAP), dua (PKR) dan dua (Amanah) namun dengan penarikan sokongan empat ADUN itu, secara teknikal Sulaiman kehilangan majoriti di DUN untuk terus menerajui kerajaan Melaka.

Pada 9 Mac 2020, Sulaiman, setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka diisytiharkan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 menggantikan Adly Zahari dari PH. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.