‘Diversion Strategy’ Ubah Suai Seri Perdana, Cuba Kaitkan PM-6 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Okt – “Tidak masuk akal untuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) cuba mengaitkan PM-6 (Perdana Menteri Keenam) dengan kelulusan projek RM38.5 juta menaik taraf Kompleks Seri Perdana di zaman beliau sebagai PM-8.”

Demikian bidas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikutan kontroversi pengubahsuaian Sri Perdana yang menelan belanja sehingga RM38.5 juta.

Tegas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), ia seolah-olah suatu ‘diversion strategy’ atau strategi untuk memesongkan perhatian rakyat daripada fakta utama yang sedang dipersoalkan secara hebat ketika ini.

“Iaitu kerajaan PN pimpinan PM-8 telah meluluskan perbelanjaan yang besar untuk kediaman rasmi PM pada waktu negara sedang berdepan krisis pandemik COVID-19.

“PM-8 mendakwa RM38.5 juta itu termasuk untuk perolehan perabot yang perlu dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana milik peribadi PM-6 telah dipindah keluar,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit.

Katanya, kini persoalan baharu yang perlu dijawab PM-8 adalah mengapa beliau menggantikan perabot peribadi milikan PM-6 di Seri Perdana dengan menggunakan wang negara.

“Mengapa perlu menggunakan wang negara yang sepatutnya boleh digunakan untuk membantu rakyat bagi menggantikan perabot peribadi milikan PM-6 yang telah tiada.

“Rakyat perlukan lebih bantuan, kerajaan PM-8 kata negara sudah tiada wang. Berbelanja untuk perabot kediaman rasmi PM diluluskan dengan begitu cekap dan pantas.”

Terdahulu beliau memberikan penerangan iaiatu, pertama, bukankah memang menjadi hak PM-6 untuk mengambil barangan peribadinya apabila tidak lagi boleh menduduki kediaman rasmi PM tersebut.

“Sama seperti seorang pekerja yang meninggalkan pejabatnya apabila sudah tidak lagi berkhidmat.

“Lagipun PM-6 cuma mengambil barangan peribadinya dari Kompleks Seri Perdana berdasarkan senarai barangan dibenarkan oleh JPM pada 18 November 2020 dan ada bukti yang jelas mengenainya.

“Kedua, jika Kompleks Seri Perdana sudah tidak lagi dilengkapi dengan perabot milikan peribadi PM-6, maka bukankah wajar ia digantikan dengan perabot peribadi milik PM yang seterusnya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.