Apa Yang Dibangkitkan RSN Rayer Tidak Tepat, Tegas Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini  berpandangan peraturan dewan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer di Dewan Rakyat berkaitan ucapannya sebelum ini mengenai keputusan mahkamah yang membabitkan dirinya adalah tidak tepat.

Menerusi hantarannya di Facebook, Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung UMNO menjelaskan apa yang disebutkannya adalah kes selepas selesai diputuskan oleh mahkamah iaitu Rabu 29 September 2021 manakala beliau berucap di Dewan Rakyat pada Khamis 30 September 2021.

“YB Jelutong timbulkan peraturan mesyuarat 36 (2). Saya sebut tentang kes selepas selesai diputuskan oleh mahkamah. Kes saya selesai Rabu 29 September 21. Saya berucap di Dewan Rakyat Khamis 30 September 2021,” katanya.

Ahmad Maslan turut melampirkan peraturan 36 (2) ‘….sedang…’ yang mana memberi penafsiran iaitu kes sedang berjalan manakala kes beliau sudah selesai diputuskan oleh mahkamah.

“Lihat peraturan 36 (2) ….sedang…iaitu kes sedang berjalan. Kes saya sudah selesai. https://t.co/CYJJEnD5Jj,” ujarnya.

Memetik laporan, sebelum ini dilaporkan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas membayar kompaun RM1.1 juta.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Maslan berikutan tertuduh bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta, semalam.

“Dalam membuat permohonan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh, TPR mengesahkan bahawa tertuduh tidak akan dihadapkan semula dengan pertuduhan-pertuduhan yang sama pada masa akan datang. Ini berikutan fakta bahawa tertuduh telah menerima tawaran kompaun dan menjelaskan bayaran kompaun tersebut.

“Berpandukan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah dan nas undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya terhadap Ambika M A Shanmugam, mahkamah dengan ini memerintahkan agar tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pertama dan kedua.

“Semua tarikh bicara yang telah dijadualkan dilapangkan,” kata Hakim Ahmad Shahrir.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.